
Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah memberitahu FMT, bilangan ambulans tidak cukup untuk menangani lonjakan kes Covid-19 di Lembah Klang.
Beliau berkata, kompleks apartmen besar seperti Mentari Court yang mempunyai kira-kira 17,000 penduduk, telah dikenakan ‘lockdown’ akibat lonjakan jangkitan di kawasan itu.
“Kami kesal pihak kementerian tidak memikirkan perkara ini. Memang tidak cukup ambulans dan kenderaan pengangkutan pesakit di PJ sekarang,” katanya kepada FMT.
“Begitu ramai orang dikuarantin, namun jika menunjukkan gejala dan perlu pergi ke hospital, siapa yang berani membawa mereka?
“Kita terpaksa menghubungi ‘hotline’ untuk bantuan. Saya tidak mahu meletakkan kakitangan atau sukarelawan dalam bahaya, kebanyakan mereka belum pun mendapat suntikan vaksin.”
Dalam kenyataan hari ini, Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya Bryan Ng Yih Miin turut mengetengahkan isu sama dengan berkata, beliau telah menerima empat panggilan kecemasan dalam seminggu lalu daripada penduduk di Petaling Jaya yang positif Covid-19 dan terdesak untuk mendapatkan pengangkutan ke hospital.
“Semuanya menghubungi talian 112 dan 999. Malangnya mereka diberitahu sama ada tiada ambulans atau pegawai kecemasan menganggap keadaan itu tidak cukup menjadi ‘kecemasan,’” katanya.
Ng yang berkelayakan sebagai peguam berkata, kekurangan ambulans itu menunjukkan Putrajaya gagal menggunakan kuasa yang telah diberikan kepadanya mengikut Ordinan Darurat yang berkuat kuasa pada Januari dan membolehkan kerajaan menggunakan sumber swasta dalam perang terhadap Covid-19.
Katanya, Kementerian Kesihatan sepatutnya menggunakan kenderaan kecemasan jabatan lain sebagai ambulans sementara.
Selain mengerahkan ambulans yang tidak digunakan di kawasan yang kurang terjejas, Maria dan Ng turut mencadangkan kerajaan menggunakan kenderaan ‘shuttle’ dan bas sekolah untuk membawa pesakit Covid-19 seperti dilakukan di UK serta Singapura.
Tambahnya, kerajaan juga mesti memastikan pampasan sewajarnya untuk syarikat yang terjejas jika kenderaan mereka digunakan bagi tujuan itu.
“Perbuatan itu sangat wajar dan amat difahami rakyat. Nyawa rakyat Malaysia tidak patut dikorbankan secara sia-sia hanya kerana kerajaan gagal atau enggan menyelesaikan isu-isu ini dengan pantas.”
Ahli Parlimen Klang Charles Santiago sebelum ini turut bersuara mengenai masalah kekurangan ambulans, dengan mendakwa lebih 30 keluarga telah merayu bantuannya untuk membawa ahli keluarga yang positif Covid-19 ke hospital.
Bercakap kepada FMT, beliau turut menceritakan bagaimana satu keluarga berusaha dua hari untuk mendapatkan ambulans namun berakhir kekecewaan.
Beliau menggesa Kementerian Kesihatan mendapatkan lebih banyak ambulans dengan kadar segera, selain mewujudkan sistem yang membolehkan paramedik sampai dalam masa 30 minit.