
Ketua Polis Daerah Gombak Zainal Mohamed Mohamed berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam memaklumkan, penemuan dua kanak-kanak perempuan itu dalam keadaan tidak terurus di Jalan Samudera Utara 1, kira-kira 1 petang semalam.
“Siasatan awal mendapati, kedua-dua mangsa tinggal bersama ibu kandung dan teman lelaki ibu mereka, di sebuah rumah flat yang disewa di Taman Samudera, Batu Caves.
“Susulan itu, ibu mangsa dan teman lelakinya berusia 22 tahun serta seorang lelaki iaitu penjaga mangsa berusia 35 tahun, ditahan semalam bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, menurut laporan Bernama.
Zainal berkata, pemeriksaan fizikal terhadap kedua-dua kanak-kanak tersebut mendapati, terdapat kesan calar dan lebam di tangan, pipi, kaki dan dagu, dan telah dihantar ke Hospital Selayang untuk pemeriksaan lanjut.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak, dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal atau emosi atau yang menyebabkan atau membenarkannya dianiayai, diabaikan, dibuang atau didedahkan sedemikian.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya.
Katanya lagi, suspek ditahan akan dibawa ke Mahkamah Selayang hari ini bagi permohonan tahanan reman.