Kelonggaran individu lengkap 2 dos vaksin diputus minggu depan, kata Muhyiddin

Kelonggaran individu lengkap 2 dos vaksin diputus minggu depan, kata Muhyiddin

Kelonggaran itu mungkin termasuk pergerakan untuk membeli-belah, atau sekurang-kurangnya rentas daerah.

Terdahulu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menggesa Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) mempertimbangkan kelonggaran pergerakan individu yang lengkap dua dos vaksinasi.
PUCHONG:
Kelonggaran bagi individu yang telah lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19 akan diputuskan pada mesyuarat Majlis Pemulihan Negara minggu depan.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata kelonggaran itu bagi memberi faedah atau keistimewaan kepada mereka yang telah lengkap dos vaksin mereka.

“… dan lepas itu kita akan umumkan apakah kelonggaran kepada mereka yang dapat dua dos ini supaya mereka tidak terus ‘terikat’; perlu ada beberapa kelebihan untuk mereka,” katanya setelah melakukan lawatan ke syarikat farmaseutikal Pharmaniaga LifeScience Sdn Bhd.

Muhyiddin berkata kelonggaran itu mungkin termasuk pergerakan untuk membeli-belah, atau sekurang-kurangnya rentas daerah.

Menurutnya langkah berkenaan juga seiring dengan pembukaan lebih banyak sektor ekonomi terutama di Lembah Klang pada Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) nanti.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata kerajaan menjangkakan semua warga emas di Lembah Klang akan disuntik sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 dalam masa beberapa minggu lagi.

Katanya, ia selaras keputusan golongan itu dibenarkan datang mendapatkan dos vaksin secara ‘walk-in’ atau jumpa terus di semua pusat pemberian vaksin (PPV) dan fasiliti kesihatan kerajaan di Lembah Klang mulai hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.