Doktor cetus inisiatif bantu golongan kurang bernasib baik dapat vaksin

Doktor cetus inisiatif bantu golongan kurang bernasib baik dapat vaksin

Idea Dr Zalina Ismail tercetus selepas bertugas di PPV dan melihat individu lain memberi bantuan kepada golongan yang memerlukan.

Dr Wan Asim Adnan, suami Dr Zalina Ismail, berbual dengan seorang wanita berkerusi roda setelah mendaftarkannya untuk mendapatkan vaksin. (Gambar Dr Zalina Ismail)
PETALING JAYA:
Atas dasar kewajipan sivik, seorang wanita menubuhkan Projek COVID, sebuah program sukarela berpangkalan di Kelantan yang membantu golongan kurang bernasib baik mendapatkan vaksin Covid-19.

“Ia satu idea yang tercetus dalam minda saya dan terus berkembang,” kata ahli neurofisiologi, Dr Zalina Ismail, kepada FMT.

“Saya berbincang dengan suami dan anak-anak dan mereka kata, ‘jom buat’.”

Zalina mula memikirkan cara untuk menyumbang ke arah matlamat melawan wabak selepas bertugas secara sukarela di pusat pemberian vaksin (PPV) di Kota Bharu dan melihat gambar-gambar individu lain menyampaikan bantuan makanan kepada golongan yang memerlukan.

Beliau berasa tidak senang dengan pendaftaran vaksinasi yang rendah di Kelantan setakat lewat Mac – hanya 11.8% daripada penduduk Kelantan mendaftar untuk mendapatkan vaksin.

Beliau mengaitkan masalah itu dengan sikap mengutamakan orang lain untuk mendapat vaksin dahulu, selain ketidakupayaan segelintir individu untuk mendaftar, contohnya seperti mereka yang terlantar, lumpuh atau tidak mempunyai kemampuan untuk bergerak ke sana ke mari.

Keazamannya untuk mengatasi masalah ini memberi inspirasi kepada beliau untuk menubuhkan Projek COVID, atau “Community Outreach Vaccine Initiative for the Disadvantaged” (Inisiatif Vaksin Khidmat Masyarakat bagi Golongan Kurang Bernasib Baik).

Menerusi projek ini, Zalina dengan bantuan 16 sukarelawan, yang terdiri daripada pelajar perubatan kolej swasta, mendekati golongan berisiko tinggi, terutamanya mereka yang lumpuh, dan penjaga mereka.

Mereka memberi penerangan kepada golongan ini tentang betapa pentingnya vaksinasi, mendaftarkan mereka untuk mendapatkan vaksin, dan membawa mereka ke PPV.

Namun projek sebegini memerlukan dana, dan pengalaman Zalina selama kira-kira 20 tahun dalam bidang akademik mengajarnya tentang betapa sukarnya mendapatkan geran.

Beliau memerlukan sejumlah RM10,740, jadi beliau mengasingkan sebahagian daripada gajinya dan mula mengumpul dana daripada orang ramai melalui pendanaan ramai.

Dengan cara ini, beliau berjaya mengumpul dana yang diperlukan dalam masa tiga hari.

“Saya tak sangka dapat respons sebegini,” katanya.

Tambahnya, jumlah sumbangan adalah dari sekecil-kecil RM1 daripada kanak-kanak hingga RM10,000 yang disumbangkan individu lain.

“Ada juga yang kata mahu sumbangkan van untuk kegunaan kami,” kata Zalina.

Buat masa ini, inisiatif ini tertumpu di Kota Bharu, namun Zalina mempunyai cita-cita yang lebih tinggi. Beliau percaya model program ini dapat disesuaikan di pelbagai peringkat oleh mereka yang mahu mengikut jejak langkahnya.

Katanya, perubahan tidak semestinya dilakukan oleh individu di organisasi besar.

“Hanya perlu langkah kecil,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.