
Pesuruhjaya Kanak-kanak (CC) SUHAKAM, Noor Aziah Mohd Awal, turut menyuarakan kebimbangan mengenai kemungkinan kisah gadis itu menjadi tular dengan gambar dan video berkaitan disebar di media sosial.
“Pihak media dan masyarakat umum diingatkan bahawa adalah menyalahi Seksyen 15 Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611) untuk berkongsi secara umum gambar dan video yang menunjukkan identiti mangsa kanak-kanak.
“… hal ini juga selaras dengan Perkara 37(a) Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC) yang telah diratifikasi oleh Malaysia pada 1995. Ia jelas menyatakan: ‘Tidak ada kanak-kanak boleh tertakluk kepada layanan yang menjatuhkan maruah’,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menyeru masyarakat supaya berhenti menyebarkan identiti mangsa kerana maruah golongan itu perlu dijaga dan dipelihara sebaiknya.
“Pejabat Pesuruhjaya Kanak-kanak (OCC) akan terus memantau perkembangan kes bagi memastikan mangsa diberikan perlindungan dan rawatan yang bersesuaian memandangkan kanak-kanak tersebut dan mereka yang dijangkiti telah dimasukkan ke hospital untuk rawatan,” katanya.
Badan itu juga menggesa kerajaan supaya memastikan kanak-kanak kurang upaya (OKU) bukan sahaja berhak mendapat perlindungan dan bantuan tetapi mestilah dibenarkan terbabit secara menyeluruh dalam masyarakat.
“Kanak-kanak kurang upaya mempunyai hak untuk menyatakan pandangan mereka, terlibat dalam membuat keputusan, menerima pendidikan inklusif dan dilindungi daripada keganasan seperti orang lain,” katanya yang turut memuji tindakan pantas pihak polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyiasat kes terbabit.
Terdahulu, media melaporkan dakwaan tular di media sosial mengenai seorang kanak-kanak perempuan penghidap Sindrom Down didera di sebuah pusat penjagaan kanak-kanak milik sebuah NGO.
Laporan polis dibuat oleh individu berkenaan yang menghantar makanan ke sebuah unit kondominium di Wangsa Maju yang menjadi pusat jagaan NGO terbabit.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Saiful Annuar Yusoff berkata, siasatan awal mendapati mangsa dan dua lagi kanak-kanak berusia dua tahun adalah OKU Sindrom Down dan tinggal bersama empat kanak-kanak lain di pusat jagaan itu.
Katanya, semua mereka tinggal di unit yang dijaga oleh seorang perempuan Melayu berumur 28 tahun sejak 14 Julai 2020.
Beliau berkata, mangsa yang juga didapati positif Covid-19 mempunyai kesan melecur di dada, tangan, leher dan peha serta kesan luka dan telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk pemeriksaan.