
Ketua Pegawai Pengawal Kawal Selia SKMM, Zulkarnain Yunus, yang juga saksi ke-22, berkata, akaun Yahoo Mail yang berpengkalan di luar negara tidak dilesenkan di bawah Akta Komunikasi Multimedia 1998.
“Berkenaan tiga e-mel Yahoo Mail dalam kes itu, [email protected], [email protected] dan [email protected], pihak MCMC tidak mempunyai akses secara langsung kepada akaun yahoo mail tersebut.
“Yahoo tidak dilesenkan di bawah bidang kuasa kami. Kami tidak ada kuasa untuk mengaturnya kerana mereka bukan pemegang lesen kami.
“Mereka tidak terikat dengan peraturan atau undang-undang di sini. Jadi, kami tidak ada maklumat mengenai e-mel yang didaftarkan di bawah Yahoo,” kata Zulkarnain dalam siasatan awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) kehilangan pastor Joshua dan isterinya Ruth secara maya hari ini.
Zulkarnain menjelaskan, Akta 1998 juga tidak memberi kuasa khusus kepada pihak SKMM untuk memperoleh atau mendedahkan maklumat mengenai pengguna internet kepada pihak ketiga.
“Untuk kes-kes yang kami siasat kita akan dapatkan maklumat tetapi kita tidak akan berkongsi dengan pihak ketiga kerana ia melibatkan siasatan kami,” katanya.
Sementara itu, peguam yang mewakili keluarga Ruth Sitepu, Philip Koh mahu SKMM mengenal pasti pemilik akaun e-mel Yahoo dengan nama pengguna “wifigurl” yang didakwa menghantar pesanan berbaur ugutan kepada Joshua Hilmy.
“Ada mesej ugutan dalam e-mel itu dan kita perlu tahu siapa yang hantar,” katanya dalam siasatan awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berkenaan kes tersebut hari ini.
Zulkarnain dalam pada itu berkata pihaknya membuat analisis pada e-mel dan mengesan beberapa maklumat, namun perincian maklumat tersebut tertakluk kepada Akta Rahsia Pegawai dan dia harus mendapatkan nasihat daripada pasukan undang-undang SKMM.
Terdahulu media melaporkan, Joshua Hilmy menerima e-mel amaran kemungkinan diancam bahaya daripada pengirim tidak dikenali sebelum hilang pada akhir 2016.