Polis rampas 1,069 mesin bitcoin RM5.3 juta

Polis rampas 1,069 mesin bitcoin RM5.3 juta

Ketua Polis Daerah Miri Hakemal Hawari berkata rampasan itu hasil operasi bersama Sarawak Energy Berhad (SEB) di Miri antara Februari hingga April lepas.

Lapan individu ditahan kerana terlibat menjalankan aktiviti perlombongan bitcoin dengan menggunakan tenaga elektrik yang dicuri daripada talian bekalan elektrik SEB. (Gambar Bernama)
MIRI:
Polis merampas 1,069 unit mesin bitcoin yang keseluruhannya bernilai RM5.3 juta dalam tempoh tiga bulan tahun ini.

Ketua Polis Daerah Miri, Hakemal Hawari berkata, rampasan itu dilakukan dalam operasi bersama Sarawak Energy Berhad (SEB) di bandar raya Miri antara Februari hingga April lalu.

Beliau berkata, lapan individu turut ditahan kerana terlibat menjalankan aktiviti perlombongan bitcoin dengan menggunakan tenaga elektrik yang dicuri daripada talian bekalan elektrik SEB sepanjang tempoh itu.

“Seramai enam individu dituduh di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri bekalan elektrik dan dijatuhi hukuman denda sehingga RM8,000 dan penjara sehingga lapan bulan,” katanya dalam kenyataan.

Semua rampasan kes yang diselesaikan di mahkamah itu dilupuskan di Ibu Pejabat Polis Daerah Miri hari ini.

Katanya, SEB mengalami kerugian sejumlah RM8.4 juta yang berpunca daripada kecurian bekalan elektrik untuk tujuan aktiviti melombong bitcoin di sini.

“Aktiviti melombong bitcoin dengan mencuri bekalan elektrik menyebabkan gangguan elektrik yang kerap dan sepanjang 2021, sebanyak tiga rumah terbakar akibat penyambungan bekalan elektrik secara haram,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.