
Mahkamah Rayuan, dengan majoriti 2-1 dalam membenarkan rayuan Ahli Parlimen Putrajaya itu terhadap sabitan dan hukumannya berkata, saksi pendakwaan menyokong hujah pembelaan bahawa wang itu adalah sumbangan politik.
“Pihak pembelaan telah menimbulkan keraguan dalam kes pendakwaan. Ada kesilapan boleh dirayu yang membenarkan campur tangan rayuan. Oleh itu sabitan itu tidak kukuh,” kata pengerusi panel, Suraya Othman.
Hakim Ahmad Nasfy Yasin bersetuju dengan Suraya manakala Abu Bakar Jais membuat penghakiman bertentangan.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 21 Dis tahun lalu mendapati Tengku Adnan bersalah menerima wang daripada pengarah syarikat Aset Kayamas, Chai Kin Kong, walaupun mengetahui syarikat ahli perniagaan berkenaan mempunyai kaitan dengan Kementerian Wilayah Persekutuan ketika itu.
Beliau dijatuhi hukuman penjara 12 bulan dan denda RM2 juta.
Hari ini, Tengku Adnan meninggalkan dewan mahkamah sejurus keputusan diumumkan dan enggan bercakap dengan pihak media.
Timbalan Pendakwa Raya Asmah Musa berkata, beliau akan mendapatkan arahan daripada Peguam Negara mengenai sama ada rayuan akan dibuat kepada Mahkamah Persekutuan.
“Kami mempunyai 14 hari dari hari ini untuk mengemukakan notis rayuan,” katanya.
Pada April, peguam Tengku Adnan, Tan Hock Chuan, mengemukakan di hadapan hakim bahawa cek bernilai RM2 juta yang diberikan oleh Chai itu adalah sumbangan politik dan bukan untuk manfaat peribadi bekas menteri itu.
Katanya, keterangan yang dikemukakan saksi pendakwaan, termasuk Chai, menunjukkan wang itu adalah bagi kegunaan dua Pilihan Raya Kecil (PRK), iaitu di Sungai Besar dan Kuala Kangsar, pada 2016.
Calon Umno Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar) dan Budiman Mohd Zohdi (Sungai Besar) memenangi kedua-dua kerusi Parlimen itu.
“Chai memberi keterangan bahawa beliau memberikan anak guam saya wang untuk PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar, malah itu bukan kali pertama beliau membuat sumbangan politik,” kata Tan.
Tambahnya, resit dikeluarkan oleh Umno kepada Chai beberapa hari selepas ahli perniagaan itu menyerahkan cek berkenaan.
“Ini menyokong hakikat bahawa Chai membuat sumbangan untuk PRK berkenaan,” kata beliau.
Dalam penghakimannya hari ini, Suraya berkata, tiga saksi pendakwaan, iaitu Chai, Ketua Pegawai Operasi Tadmansori Holdings Sdn Bhd Hasbi Jaafar dan pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM, Muhammad Saad Bordani, memberi keterangan menyokong pertikaian bahawa wang itu adalah sumbangan politik.
“Harus diingat bahawa pihak pendakwaan pada setiap masa harus membuktikan kesnya tanpa keraguan munasabah, jika gagal, tertuduh berhak dibebaskan,” katanya.
Suraya berkata, hakim perbicaraan Mohamed Zaini Mazlan gagal mempertimbangkan keterangan ketiga-tiga saksi berkenaan.
Tambahnya, Chai adalah saksi utama pendakwaan dan beliau tidak disoal balas berkenaan sumbangan politik tersebut, dan hakim tidak memberi perhatian terhadap perkara ini.
Kata Suraya lagi, majoriti juga tidak yakin dengan alasan hakim bahawa resit yang dikeluarkan bagi wang RM2 juta itu tidak tulen.
Zaini berkata dalam penghakimannya, wang itu diterima beberapa hari sebelum salah satu PRK pada Jun 2016 tetapi resit dikeluarkan pada November 2018, sejurus selepas penangkapan Tengku Adnan.
Abu Bakar berkata, pihak pendakwaan telah membuktikan semua unsur pertuduhan dan Zaini tidak membuat kesilapan dalam mendapati Tengku Adnan bersalah.
“Tertuduh adalah penjawat awam. Beliau terima RM2 juta. Tiada pertimbangan dibuat bagi RM2 juta itu, dan tertuduh tahu Chai ada kaitan dengan tugas rasminya sebagai menteri,” katanya.
Beliau berkata, wang berkenaan tidak pernah menjadi sumbangan politik dan Tengku Adnan mengambilnya untuk kegunaan sendiri.
“Wang itu dihantar kepadanya (dideposit dalam akaun bank Tadmansori, syarikat yang mempunyai kaitan dengannya).
“Tiada bukti bahawa beliau membelanjakan wang berkenaan untuk PRK,” kata Abu Bakar.