Beliau ditahan 10.30 pagi bagi membantu siasatan kes mendatangkan kecederaan dan ugutan jenayah selepas diminta hadir ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur untuk memberi keterangan susulan beberapa laporan polis yang dibuat terhadapnya.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Siti Kamsiah Hassan berkata, kertas siasatan baharu dibuka dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, iaitu dengan sengaja mendatangkan kecederaan serta Seksyen 506 Kanun Keseksaan, iaitu melakukan ugutan jenayah.
Katanya, polis mengemukakan permohonan reman ke atas wanita itu pagi ini di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.
“Masyarakat perlu memahami, kita perlu ambil kira banyak aspek perundangan ketika jalankan siasatan, termasuk hak undang-undang serta keselamatan semua pihak yang terlibat termasuk situasi semasa.
“Sehubungan itu, kita minta masyarakat terus beri keyakinan kepada pasukan penyiasat polis untuk melaksanakan tugas mereka,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Dalam kenyataan dikeluarkan melalui peguamnya hari ini, wanita dikaitkan dengan kes itu menegaskan tiada penderaan berlaku terhadap Bella dan bertekad untuk terus memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.
Beliau kesal kerana tindakannya berdiam diri atas nasihat peguam disalah guna pihak tertentu untuk melontar pelbagai tohmahan.
Awal bulan lalu, media melaporkan remaja perempuan berusia 13 tahun itu yang dijadikan anak angkat sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Kuala Lumpur, dipercayai didera di sebuah rumah kebajikan didiaminya sejak setahun lalu.
Rumah kebajikan di Jalan Kukuban di Taman Setapak itu turut disita melalui perintah mahkamah yang dikeluarkan pada 5 Julai lalu.
Susulan itu Pelindung Unit Kanak-Kanak, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut mengambil tindakan terhadap enam kanak-kanak dengan mengeluarkan mereka daripada rumah kebajikan berkenaan.
Rumah kebajikan itu juga didapati beroperasi secara haram sejak 2019 dan tidak berdaftar dengan JKM
Bella kini ditempatkan di Taman Sinar Harapan Tuanku Ampuan Najihah, Seremban, Negeri Sembilan.