Bekas pemimpin Orang Asal mengaku salah perdaya wanita

Bekas pemimpin Orang Asal mengaku salah perdaya wanita

Tertuduh didakwa memperdaya wanita itu untuk membantunya mendapatkan sijil daftar lewat kelahiran.

Wakil Ketua Anak Negeri, Minur Jimes (kanan) mengaku bersalah menipu seorang wanita berhubung pengeluaran sijil daftar lewat kelahiran di Tawau hari ini. (Gambar SPRM)
KOTA KINABALU:
Seorang bekas pemimpin Orang Asal yang dilantik kerajaan didenda RM5,000 kerana memperdaya seorang wanita dengan berjanji akan membantunya mendapatkan sijil daftar lewat kelahiran untuk beliau dan adik perempuannya.

Minur Jimes, 54, bekas Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN), didakwa memperdaya Dayang Tairudin yang beliau boleh membantu mereka mendapatkan sijil itu dengan bayaran RM1,200.

Ini untuk membolehkan kedua-dua wanita itu mendapatkan kad pengenalan kemudian.

Minur mengaku bersalah di bawah Seksyen 415 Kanun Keseksaan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Abu Bakar Manat di Mahkamah Khas Rasuah di Tawau hari ini.

Mahkamah mendendanya RM5,000 atau tiga bulan penjara, jika tidak dapat membayar denda itu. Minur kemudiannya membayar denda itu.

Tertuduh, yang kini ahli perniagaan, didakwa melakukan kesalahan itu berhampiran Jabatan Pendaftaran Negara cawangan Sandakan pada Februari 2016.

Difahamkan, wanita itu dan adiknya tidak mempunyai sijil kelahiran yang diperlukan untuk memohon kad pengenalan, walaupun ibu bapa mereka mempunyai dokumen pengenalan diri.

Pegawai Pendakwa, Rekhraj Singh mewakili Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.