
Lim Hock Seng berkata, ini dinyatakan dalam terma kontrak antara kerajaan negeri dengan Consortium Zenith BUCG Sdn Bhd bagi kerja berkaitan terowong itu serta tiga jalan raya.
Mengikut kontrak itu, kerajaan negeri akan membayar Consortium Zenith dengan dua bidang tanah, iaitu Lot 702 dan Lot 10012 di Seksyen 1, Bandar Tanjong Pinang, bernilai RM208.76 juta.
“Kami mahu menyelesaikan masalah lalu lintas Pulau Pinang secara kekal menerusi projek terowong dan jalan raya ini.
“Kami mematuhi semua undang-undang dalam mendapatkan kontraktor bagi tugas itu,” katanya.
Menurut pendakwaan, Guan Eng secara tidak jujur melupuskan dua bidang tanah kerajaan negeri antara 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017 dengan memindahkan pemilikannya kepada dua syarikat yang dikaitkan dengan Consortium Zenith.
Dia menghadapi dua tuduhan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang jika disabitkan kesalahan membawa hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, selain denda dan sebatan.
Selain itu, Guan Eng dituduh menggunakan kedudukannya sebagai Ketua Menteri ketika itu untuk meminta daripada Pengarah Consortium Zenith Zarul Ahmad Mohd Zulkifli balasan berupa 10% daripada keuntungan projek jalan dan terowong itu.
Bekas Menteri Kewangan itu turut didakwa mendapatkan RM3.3 juta rasuah untuk melantik syarikat Zarul mengendalikan projek itu.
Sementara itu, Hock Seng memberitahu mahkamah, kerajaan negeri melantik firma kejuruteraan (HSS Integrated Sdn Bhd) untuk menilai jumlah bayaran yang sepatutnya diberikan kepada Zenith Consortium untuk projek terowong dan jalan raya itu.
“Pada mulanya, mereka mengenakan yuran rundingan sebanyak RM20 juta tetapi Ketua Menteri (Guan Eng) meminta mereka mengurangkannya,” katanya, dengan menambah pelantikan firma itu dibuat menerusi tender terbuka.
HSS Integrated dilaporkan menasihatkan kerajaan negeri supaya membayar RM208 juta kepada kontraktor, Zenith Construction untuk kajian alam sekitar. Firma itu dibayar RM11.2 juta untuk perundingan berkenaan.
HSS Integrated juga adalah syarikat yang menyelia proses tender untuk projek terowong dan jalan raya bersama Jawatankuasa Tender Negeri yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri.
Selain projek terowong dan jalan raya itu, HSS Integrated turut terlibat dengan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Perbicaraan di hadapan hakim Azura Alwi bersambung 16 Ogos ini.