Rasuah AKSB: Bekas Pengurus Besar dibebas dengan jaminan SPRM

Rasuah AKSB: Bekas Pengurus Besar dibebas dengan jaminan SPRM

Mahkamah membenarkan lelaki berkenaan dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Bekas Pengurus Besar Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan rasuah melibatkan projek bernilai lebih RM27 juta. (Gambar Bernama)
KOTA BHARU:
Bekas Pengurus Besar Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) yang direman bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan projek bernilai lebih RM27 juta dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Mohd Rusli Ahmad mengeluarkan perintah itu di Mahkamah Majistret di sini, selepas lelaki berusia 60 tahun itu direman selama tujuh hari bermula Jumaat lalu.

Mahkamah membenarkan lelaki berkenaan dibebaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Sebelum ini, tiga individu termasuk bekas pengurus besar AKSB itu direman bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah tersebut yang berlaku antara 2015 dan 2019 mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Dua individu lain, iaitu pegawai AKSB berusia 39 tahun dan pengarah projek sebuah syarikat berusia 42 tahun, yang ditahan Khamis lalu difahamkan telah dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas direman tiga hari.

Sementara itu, di mahkamah sama, seorang pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan (ASP) dan tiga anggota polis yang direman bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah RM200,000, turut dibebaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM10,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Minggu lalu, media melaporkan pegawai kanan berpangkat ASP itu didakwa meminta suapan sebanyak RM200,000 daripada pasangan pengedar dadah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.