Ketua Umno Bahagian Bayan Baru hadap 58 tuduhan lagi

Ketua Umno Bahagian Bayan Baru hadap 58 tuduhan lagi

Mansor Musa dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM9.22 juta.

Ketua Umno Bahagian Bayan Baru Mansor Musa.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Umno Pulau Pinang yang sebelum ini didakwa atas 106 pertuduhan pengubahan wang haram di Butterworth, sekali lagi dihadapkan ke mahkamah bagi menghadapi 58 lagi tuduhan sama.

Ketua Umno Bayan Baru, Mansor Musa, 58, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen bagi pertuduhan membabitkan wang sebanyak RM9.22 juta, menurut laporan Harian Metro.

Beliau mengaku tidak bersalah di hadapan hakim Suzana Hussin dan mohon dibicarakan.

Pengerusi Koperasi Tunas Muda Sungai Ara Bhd itu, yang juga bekas ADUN Batu Maung, tiba di mahkamah kira-kira 7.30 pagi tadi.

Menurut laporan itu, berdasarkan kertas pertuduhan pertama hingga ke-42, Mansor didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram, antaranya menerima wang dalam bentuk tunai, menggunakan wang hasil daripada aktiviti haram untuk pembelian saham, rumah dan pembayaran kepada kontraktor melalui syarikat yang berbeza.

Dia didakwa melakukan semua kesalahan itu mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Manakala bagi pertuduhan ke-43 hingga ke-58 pula, tertuduh didakwa menerima, mengguna, dan memindahkan wang daripada sebuah syarikat yang merupakan hasil aktiviti haram.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA), yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda lima kali hasil kegiatan haram atau RM5 juta atau mana lebih tinggi.

Beliau dituduh melakukan semua kesalahan itu di Public Bank cawangan Jalan Raja Chulan dan Starpac Point serta RHB Bank Berhad cawangan KLCC antara Disember 2008 hingga Mei 2015.

Pendakwaan diketuai Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Faridz Gohim Abdullah dan Muhammad Asraf Mohamed Tahir.

Tertuduh diwakili peguam Selva Mookiah.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM200,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Julai ini sebagai tarikh sebutan kes.

Mansor pada Isnin lalu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth atas 106 pertuduhan rasuah bernilai lebih RM11 juta membabitkan kesalahan sama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.