Hampir 80% warga KL lengkap vaksin

Hampir 80% warga KL lengkap vaksin

Berdasarkan jumlah itu, Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa yakin ibu negara akan mencapai imuniti kelompok seawal bulan depan.

Khidmat Vaksinasi Prihatin yang berpusat di Hotel Grand Seasons Kuala Lumpur mampu memberikan 600 dos vaksin setiap hari. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Hampir 80% warga Kuala Lumpur lengkap menerima dua dos suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan setakat ini.

Berdasarkan jumlah itu, Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa yakin ibu negara akan mencapai imuniti kelompok seawal bulan depan.

“Sekarang adalah masa untuk kita turun mencari mereka yang tertinggal seperti golongan miskin dan gelandangan untuk divaksin,” katanya selepas meninjau operasi hari pertama Rumah Prihatin@Grand Seasons di sini.

Susulan itu, Annuar berkata, mesyuarat akan diadakan esok bersama semua Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan bagi membincangkan perancangan Kuala Lumpur setelah mencapai imuniti kelompok.

“Kita mahu berbincang dan mendapatkan pandangan mereka bagaimana mahu membuka semula Kuala Lumpur selepas berjaya mencapai imuniti kelompok nanti.”

Mengenai Rumah Prihatin@Grand Seasons, beliau berkata, ia menawarkan enam komponen utama, iaitu Dapur Prihatin, Food Bank, Bilik Penginapan Prihatin, Khidmat Kesihatan Mental Prihatin, Khidmat Vaksinasi Prihatin dan Pusat Gerakan Jejak Prihatin sejajar konsep Wilayah Cakna dan Wilayah Prihatin bagi membantu rakyat secara lebih proaktif.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.