Puad berkata, kebiasaannya, ahli yang berani membelakangkan parti dianggap “the losers” susulan keengganan menghormati kehendak akar umbi.
Jelasnya, menteri dan timbalan menteri Umno tidak sepatutnya membuat keputusan bertentangan dengan pendirian parti, yang pada minggu lalu memutuskan menarik sokongan terhadap Muhyiddin.
Malah tegasnya, keputusan itu sudah dipersetujui mereka dan perkembangan baharu itu mendedahkan sikap sebenar individu terbabit yang tidak mengutamakan parti.
“Mereka tidak boleh dakwa mengutamakan rakyat kerana pendirian Umno juga dibuat membela rakyat akibat kegagalan perdana menteri mengurus ekonomi dan pandemik.
“Lagipun MKT Umno memutuskan Ahli Parlimennya boleh terus kekal dalam kerajaan PN (Perikatan Nasional) sehingga Parlimen memulakan sidang,” katanya kepada FMT.
Puad berkata, Umno sudah masak dengan perangai pemimpin yang tidak patuh dengan keputusan pimpinan dan bukan sesuatu yang pelik apabila wujud beberapa kem dalam parti itu.
“Akhirnya ahli akan menghukum mereka, kebiasaannya mereka yang membelakangkan parti adalah ‘the losers’.
“Jika berani melakukan ‘kamikaze’ politik, silakan. Pokoknya, saya yakin hampir 95% ahli Umno menolak Bersatu dan menyokong Muhyiddin umpama menyokong Bersatu,” katanya.
Semalam, Jemaah Menteri sebulat suara kekal menyokong penuh kepimpinan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri di sebalik tindakan Umno menarik balik sokongan kepada beliau.
Khamis lalu, Umno memutuskan menamatkan sokongannya terhadap Muhyiddin dan mendesak beliau meletak jawatan sebagai perdana menteri dengan segera atas tujuh “kegagalan”, termasuk pengurusan lemah kerajaan pimpinannya dalam menangani pandemik Covid-19.
Keputusan MKT Umno itu yang diumumkan presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi, setakat ini tidak memberi kesan kepada kedudukan ahli Jemaah Menteri parti itu, termasuk Ismail Sabri Yaakob, yang dilantik sebagai timbalan perdana menteri, minggu lalu.