Usung keranda pamer lambang kongsi gelap, polis tahan 11 individu

Usung keranda pamer lambang kongsi gelap, polis tahan 11 individu

Ketua Polis Melaka Abdul Majid Mohd Ali berkata semua lelaki berumur 24 hingga 42 tahun itu ditahan dalam beberapa serbuan berasingan di sekitar negeri itu.

Video berdurasi 20 saat yang tular itu memaparkan upacara penghormatan terakhir seorang lelaki yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya dengan mempamerkan lambang kumpulan kongsi gelap 04.
PETALING JAYA:
Polis Melaka menahan 11 individu dipercayai terlibat dengan perbuatan mengusung keranda sambil mempamerkan lambang kumpulan kongsi gelap 04, yang klip videonya tular di media sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Melaka Abdul Majid Mohd Ali berkata semua lelaki berumur antara 24 dan 42 tahun itu ditahan dalam beberapa serbuan berasingan menerusi Op Cantas Khas bermula 8 Julai hingga semalam di sekitar negeri itu.

Video berdurasi 20 saat yang tular itu memaparkan upacara penghormatan terakhir seorang lelaki yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya dengan mempamerkan lambang kumpulan kongsi gelap 04.

Ia dipercayai dirakam di hadapan sebuah rumah di Durian Tunggal, Alor Gajah.

Susulan itu, Abdul Majid berkata polis kini sedang mengesan dua individu berumur 25 dan 37 tahun bagi membantu siasatan.

“Polis telah menerima satu laporan mengenai video terbabit pada 7 Julai. Susulan itu tangkapan dilakukan Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat, Jabatan Siasatan Jenayah Melaka.

“Dua kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 50 (3) dan Seksyen 52 (3) Akta Pertubuhan 1966 selain kompaun turut dikenakan terhadap semua individu terlibat di bawah Peraturan 17 (1) Akta Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempat jangkitan) 2021 kerana melanggar prosedur operasi standard,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Abdul Majid berkata polis turut merampas beberapa pakaian yang dipakai individu terlibat semasa mengusung keranda, selain telefon bimbit seorang individu yang merakam kejadian.

Menurutnya, pihak polis memandang serius sebarang aktiviti melibatkan kumpulan kongsi gelap dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat.

“Masyarakat dinasihatkan supaya tidak memasukkan elemen kongsi gelap dalam apa-apa aktiviti keagamaan, persatuan dan upacara kematian yang boleh mengganggu keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.