Ramai ibu tunggal, OKU di Sabah tercicir bantuan makanan, kata Suhakam

Ramai ibu tunggal, OKU di Sabah tercicir bantuan makanan, kata Suhakam

Suhakam Sabah berkata ibu tunggal adalah golongan paling terjejas akibat kurang menerima bantuan makanan.

Bantuan kerajaan negeri kepada komuniti B40 tidak sampai kepada golongan seperti ibu tunggal, OKU dan pendatang tanpa dokumen, kata Pesuruhjaya Suhakam Sabah Jerald Joseph. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Golongan terpinggir di pulau dan kawasan pedalaman Sabah tercicir daripada program bantuan makanan kerajaan yang disediakan untuk meringankan beban mereka ketika pandemik Covid-19, kata Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (SUHAKAM).

Ketua Pejabat SUHAKAM Sabah, Jasmih Slamat berkata, ibu tunggal adalah golongan paling terjejas kerana kurang menerima bantuan berkenaan.

Katanya, mereka tidak mempunyai statistik terperinci berhubung perkara itu tetapi ibu tunggal menyuarakan kebimbangan mengenai ketiadaan bantuan susu tepung yang dimasukkan sebagai bantuan barangan keperluan asas.

“Segelintir ibu tunggal ini mempunyai empat atau lima anak.

“Pejabat kami sering menerima aduan daripada beberapa individu dan badan bukan kerajaan (NGO) bahawa bakul makanan di kawasan seperti Pulau Sebatik, Pulau Banggi, Sandakan, Lahad Datu, Semporna dan Tawau tidak sampai kepada penerima,” katanya dalam sidang media secara maya hari ini.

Jasmih Slamat.

Beliau berkata, pandemik telah membuka mata pihak berkuasa terhadap isu dokumentasi sambil menyatakan pendatang asing antara yang terkesan kerana tidak layak menerima bantuan kerajaan.

Pesuruhjaya SUHAKAM Jerald Joseph juga berkata, keperluan permit di Sabah menyukarkan usaha NGO untuk bergerak melakukan pengagihan bantuan ke seluruh negeri.

“Walaupun usaha mereka patut dipuji tetapi bantuan kerajaan kepada komuniti B40 tidak sampai kepada golongan seperti ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU) dan pendatang tanpa dokumen,” katanya.

Joseph menggesa kerajaan negeri menggalakkan kedutaan memperluaskan bantuan kepada warganegara mereka yang berdepan masalah di Sabah selain mencadangkan agensi kerajaan serta NGO mencari langkah lebih baik untuk bekerjasama dalam pengagihan bantuan secara berkesan.

“NGO ini tidak patut disekat daripada menyalurkan bantuan kepada komuniti yang memerlukan bantuan.

“Saya rasa Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu bekerjasama rapat dengan NGO sebagai rakan mereka untuk mengagihkan bantuan,” katanya.

Joseph turut meminta kerajaan negeri berkongsi data dan maklumat mengenai bantuan yang disediakan untuk mengelakkan berlakunya pertindihan dalam penyaluran bantuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.