
Ketua Unit Kawalan Jangkitan hospital itu, Dr Chow Ting Soo berkata keputusan untuk memindahkan pesakit ke hospital luar, dibenarkan selepas menilai beberapa kriteria ketat.
Beliau berkata beberapa faktor seperti kekosongan katil dan kemudahan sokongan yang mencukupi akan dipertimbangkan selepas menentukan sama ada pesakit itu cukup stabil untuk dipindahkan.
Chow berkata dalam kes di Selangor, terdapat kekurangan katil untuk pesakit kritikal dan kebergantungan tinggi yang memaksa pengurusan mendapatkan bantuan negeri lain dalam memastikan dia diberi rawatan mencukupi.
Katanya, dalam kes Covid-19, pasukan doktor bagi kawalan penyakit akan menilai pesakit itu terlebih dahulu berdasarkan setiap kes sebelum membenarkan mereka dihantar keluar dari negeri.
“Warganet berkata tidak elok untuk memindahkan kes ke sini (ke Pulau Pinang), tetapi saya minta mereka berfikiran secara logik. Kita bercakap mengenai Covid-19 yang mana mereka boleh diasingkan dan dijaga.
“Tahun lalu, Pulau Pinang menghantar kes ke Ipoh yang membabitkan pesakit Covid-19. Bagi kami, ia masih boleh diterima sekiranya membabitkan satu atau dua kes. Ia bukannya tidak pernah berlaku sebelum ini.
“Pesakit yang positif akan diasingkan walaupun dibawa ke Pulau Pinang dan dikendalikan mengikut protokol ketat,” katanya kepada FMT.
Terdahulu, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow menepis dakwaan dua bas penuh dengan pesakit yang positif Covid-19 dari Selangor dihantar ke hospital itu untuk menerima rawatan.
Katanya, hanya seorang pesakit Covid-19 yang kritikal dibawa dari luar ke Pulau Pinang dan keadaannya adalah stabil tetapi beliau tidak menyatakan pesakit itu berasal dari mana.