Kerajaan didesak tingkatkan jumlah suntikan harian kepada setengah juta

Kerajaan didesak tingkatkan jumlah suntikan harian kepada setengah juta

Dr Lee Boon Chye berkata beliau yakin berlaku penurunan kadar jangkitan yang ketara jika usaha vaksinasi meningkat sehingga jumlah orang yang menerima dos meningkat setiap hari daripada 400,000 setakat ini kepada 500,000.

Setakat Isnin lalu, 11.7 juta rakyat Malaysia (36.6% penduduk) telah divaksinasi dan daripada jumlah itu 3.6 juta menerima dua dos.
PETALING JAYA:
Kerajaan perlu meningkatkan jumlah vaksinasi harian Covid-19 dengan kadar segera dan tidak hanya bergantung pada pengesanan kontak semata-mata, kata bekas timbalan menteri kesihatan, Dr Lee Boon Chye

Beliau berkata, “pengesanan kontak sudah tidak berfungsi” kerana petugas kesihatan kini tidak lagi dapat mengikut kadar jangkitan yang semakin meningkat.

Bercakap kepada FMT, Lee berkata, beliau yakin dapat melihat penurunan kadar jangkitan yang ketara jika usaha vaksinasi meningkat sehingga jumlah orang yang menerima dos meningkat setiap hari daripada 400,000 setakat ini kepada 500,000.

Beliau berkata, jumlah kes berkemungkinan akan turun apabila 30% hingga 40% penduduk menerima dua dos mereka dan berpendapat ujian massa secara besar-besaran akan memakan masa yang lama kerana lebih banyak invididu dijangkiti.

Setakat Isnin lalu, 11.7 juta rakyat Malaysia atau 36.6% penduduk telah divaksin dan daripada jumlah itu 3.6 juta menerima dua dos.

Bercakap kepada FMT, Presiden Persatuan PKS Malaysia Michael Kang berkata, beliau yakin kadar jangkitan akan terkawal dengan lebih baik jika kerajaan mengambil kira saranan yang dibuatnya tahun lalu untuk segera melakukan pengesanan kontak dan membuat pengasingan kes baharu.

Beliau berkata, kerajaan harus, “dari awal” menggunakan teknologi untuk mengesan kes baharu dan mencegah orang yang dijangkiti daripada melakukan pergerakan.

“Tetapi mereka melakukan sekatan pergerakan seluruh negara dan perniagaan semakin tertekan,” katanya.

Malaysia melalui tiga pelaksanaan perintah kawalan pergerakan di seluruh negara dengan yang ketiga bermula 1 Jun lalu.

“Sebilangan besar perniagaan tidak mempunyai pilihan selain menutup perniagaan mereka susulan perintah kawalan pergerakan. Faktanya adalah bahawa kawalan pergerakan tidak berkesan selagi mereka yang dijangkiti masih berkeliaran bebas,” katanya.

Persatuan Kang mula bekerjasama dengan Putrajaya untuk memvaksinasi mereka di sektor PKS.

“Kita mengharapkan vaksinasi pekerja PKS dan barisan hadapan dapat segera dilakukan agar perniagaan dapat mula beroperasi,” katanya.

Minggu lepas Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Wan Junaidi Tuanku Jaafar memberi amaran bahawa 49% perusahaan mikro kecil dan sederhana tidak lama lagi akan runtuh sekiranya penutupan penuh ini berlanjutan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.