
Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) yang menyokong gesaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya undang-undang pengisytiharan harta diwujudkan, berkata langkah itu bertujuan meningkatkan kebertanggungjawapan pegawai kerajaan dan wakil rakyat serta menghalang kegiatan rasuah.
“Langkah ini akan memperkasakan penguatkuasa pencegahan rasuah dengan sokongan legislatif. Mereka perlu bertindak dengan sepatutnya terhadap individu yang belum mengisytiharkan harta atau membuat pengisytiharan palsu.
“Kita sudah melihat beberapa kes mengejutkan membabitkan ahli politik termasuk bekas perdana menteri dengan kisah kekayaan mereka yang tidak dapat dijelaskan, menjalani kehidupan di luar kemampuan dan secara terang-terangan menyalah guna kuasa untuk kepentingan diri sendiri.
“Keterangan saksi yang diberikan di mahkamah terhadap pemimpin politik memberi gambaran buruk terhadap kegiatan mencuri harta rakyat dan menyalahguna wang rakyat yang berlarutan sejak beberapa tahun,” kata NGO itu.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Shamshun Baharin Mohd Jamil berkata buat masa ini, tiada siapa yang boleh dikenakan tindakan undang-undang kerana tidak mengisytiharkan harta.
Katanya, usul itu sudah dibentangkan di Dewan Rakyat untuk semua ahli Parlimen mengisytiharkan harta kepada Speaker, dengan salinannya diberikan kepada SPRM.
Dia berkata SPRM tidak boleh membuat sebarang pengesahan terhadap dokumen yang diterima itu.
“Siasatan hanya dilakukan terhadap individu yang dilihat mempunyai kehidupan mewah melebihi tahap pendapatan mereka mengikut Seksyen 36 Akta SPRM 2019,” kata Shamshun.
Sementara itu, C4 berkata pengisytiharan harta oleh wakil rakyat menerusi laman sesawang SPRM tidak menyediakan maklumat secara terperinci.
“Pelaksanaannya menjadi satu perkara lucu apabila ia hanya menunjukkan gaji kumulatif dan tanpa sebarang butiran penuh untuk diteliti secara terbuka mengenai pendedahan harta.
“Menjelang pilihan raya berikutnya, kami menggesa seluruh rakyat Malaysia meneliti kekayaan peribadi calon yang ingin bertanding sebagai wakil rakyat dan paksa mereka untuk menunjukkan komitmen terhadap undang=undang pengisytiharan harta,” katanya.