Kadar kebolehjangkitan Covid-19 catat rekod tertinggi 1.16

Kadar kebolehjangkitan Covid-19 catat rekod tertinggi 1.16

Dr Noor Hisham Abdullah berkata hanya tinggal tiga negeri sahaja yang nilai Ro mencatatkan bacaan kurang daripada 1.0.

PETALING JAYA:
Kadar kebolehjangkitan Covid-19 (Ro) mencatatkan rekod tertinggi semalam, iaitu pada tahap 1.16, berdasarkan graf harian bagi tempoh sebulan, mulai 13 Jun lalu.

Berdasarkan maklumat yang dikongsi oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah di Facebook menunjukkan trend peningkatan Ro melepasi kadar 1.00 direkodkan sejak 28 Jun lalu dengan kali terakhir kadar Ro berada di bawah 1.00 pada 27 Jun, iaitu 0.99.

Grafik dikongsikan itu menunjukkan kadar Ro tertinggi pernah direkodkan sebelum ini adalah 1.15 pada 11 Julai sebelum turun kepada 1.14 pada hari berikutnya.

Dalam hantaran di Facebook Dr Noor Hisham Abdullah menunjukkan trend peningkatan Ro melepasi kadar 1.00 direkodkan sejak 28 Jun lalu. (Gambar Facebook)

Turut dinyatakan kadar kebolehjangkitan mengikut negeri dan hanya tinggal tiga negeri sahaja yang nilai Ro mencatatkan bacaan kurang daripada 1.0, iaitu Wilayah Persekutuan Labuan (0.88) dan Sarawak (0.93), manakala Perlis mencatatkan sifar kes.

Sebanyak empat negeri mencatatkan Ro melebihi nilai kebangsaan, iaitu Wilayah Persekutuan Putrajaya yang merekodkan 1.35, diikuti Terengganu (1.26), Selangor (1.19) dan Kedah (1.17).

Nilai Ro merujuk kepada tahap kebolehjangkitan sesuatu virus, iaitu jumlah ramai individu yang boleh dijangkiti oleh satu kes positif.

Semakin rendah nilai itu semakin kurang kemungkinan jangkitan bagi setiap kes positif.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.