Bukit Aman siasat dakwaan isu penambahan slot janji temu vaksinasi

Bukit Aman siasat dakwaan isu penambahan slot janji temu vaksinasi

Ini susulan laporan polis seorang petugas di PPV mendakwa berlaku lebihan penerima vaksin yang tersenarai di dalam MySejahtera berbanding jumlah vaksin yang diperuntukkan di lokasi itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Mohd Kamarudin Md Din mengesahkan polis sedang menyiasat perkara itu.
KUALA LUMPUR:
Polis menjalankan siasatan berhubung dakwaan wujud penambahan slot janji temu vaksinasi Covid-19 yang tersenarai di dalam aplikasi MySejahtera sehingga tidak setara dengan jumlah vaksin yang diperuntukkan kepada Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Mohd Kamarudin Md Din mengesahkan perkara terbabit dan laporan berkaitan isu itu telah dibuat oleh seorang petugas di PPV di ibu negara.

Beliau berkata berdasarkan laporan polis yang diterima, pengadu mendakwa berlaku lebihan penerima vaksin yang tersenarai di dalam aplikasi MySejahtera berbanding jumlah vaksin yang diperuntukkan di PPV berkenaan.

“Siasatan masih di peringkat awal dan polis bertindak mengambil keterangan daripada beberapa orang saksi berkaitan.

“Polis menggesa orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkenaan isu ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 5 Akta Jenayah Komputer 1997,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menasihati orang ramai agar sentiasa memberikan kerjasama dan sokongan penuh kepada kerajaan bagi memastikan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) berjaya.

Polis tidak akan berkompromi dengan sebarang usaha mensabotaj program yang sedang dilaksanakan dan tindakan tegas sebagaimana yang diperuntukkan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati ingkar, katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.