
PETALING JAYA: Suntikan vaksin Covid-19 di negara ini merekodkan jumlah harian tertinggi membabitkan 421,479 dos diberikan, semalam.
Menerusi catatan di Twitter, Menteri Kesihatan Adham Baba memaklumkan daripada jumlah pemberian dos harian itu, sebanyak 264,034 adalah dos pertama, manakala 157,445 merupakan dos kedua.
Peningkatan jumlah pemberian vaksin adalah susulan lebih banyak pusat pemberian vaksin (PPV) mula beroperasi pada 12 Julai dengan tiga PPV terbaharu di Selangor dan dua lagi di Pahang.
Rekod tertinggi suntikan harian vaksin Covid-19 sebelum ini adalah pada 7 Julai melibatkan 375,842 dos.