Individu berusia 59 tahun yang lebih mesra dipanggil Veera itu menaiki motosikalnya menghantar makanan percuma kepada kira-kira 50 keluarga setiap hari dengan memulakan perjalanannya dari restoran daun pisang miliknya di bawah sebuah pokok berhampiran bulatan Jalan Free School.
Sejak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) sepanjang setahun lalu, perniagaannya merosot dan beliau terpaksa menggunakan wang simpanannya terutamanya setelah harga sayuran naik sejak sebulan lalu.
Namun, beliau berjaya bertahan dengan sumbangan daripada insan yang baik hati dan jualan set hidangannya dengan sembilan lauk yang berharga semurah RM8.

Veera berkata, kebanyakan hasil keuntungan kedainya digunakan untuk memberi makan orang miskin. Katanya, terdapat sekumpulan yang terdiri daripada kira-kira 10 individu membuat sumbangan dari semasa ke semasa dan ini membolehkannya menyediakan lebih makanan kepada golongan miskin.
Beliau juga “menyelamatkan” lebihan makanan daripada gerai berhampiran seperti susu kacang soya, ubi keledek, kuih bachang, selain makanan yang tidak terjual oleh penyedia makanan.
“Suatu hari, saya ternampak seorang penjual susu kacang soya membuang sebekas besar susu dan apabila saya bertanya kenapa, katanya hendak menutup kedai.
“Saya beritahunya daripada buang lebih baik beri kepada saya untuk dihantar ke rumah anak yatim berhampiran. Sedih melihat makanan terbuang ketika ada orang yang kelaparan.
“Sekarang penjual susu kacang soya tersebut dan tiga penjual makanan lain akan hubungi saya kalau mereka ada lebihan makanan. Saya pergi ke gerai makanan, beri nombor telefon saya dan minta mereka hubungi jika ada makanan lebih dan saya akan datang ambil,” katanya.

Buat masa ini, Veera hanya menghantar makanan di sekitar Taman Free School sahaja kerana beliau masih perlu mengusahakan kedainya bersama isteri, Rathina, 51, dan dua anak gadisnya. Mereka juga mempunyai dua pekerja sambilan.
Apabila mempunyai masa lapang, beliau meluangkannya dengan membantu gelandangan sekitar George Town.
“Saya sedang mencari orang untuk bantu hantar lebih makanan kepada yang memerlukan, selain perlu sumbangan supaya saya dapat sediakan lebih makanan percuma. Jika anda ada lebihan makanan, sila hantar kepada saya,” katanya.
Anak-anak Veera, Priyanka and Kowsalya, masing-masing berusia 24 and 21 tahun, turut mengikut jejak langkahnya.
Priyanka menerima Diana Award dari United Kingdom, salah seorang antara tiga rakyat Malaysia yang menerima penghormatan sebegini, atas usahanya memberi motivasi dan bimbingan kepada pelajar miskin yang lemah dari segi akademik.
Kowsalya membantu bapanya dalam program motivasi kendiri “Zero to Hero”, yang bermatlamat menghindarkan anak muda yang miskin daripada menjadi nakal dan tersisih. Setakat ini, program ini telah membantu lebih 10,000 pelajar.
Satu ketika dahulu, ketika berusia 49 tahun, Veera menewaskan saingannya dari Thailand berusia 22 tahun dalam kejohanan “kickboxing” yang diadakan di tapak Pesta Pulau Pinang.
Selain memegang tali pinggang hitam dalam karate, Veera turut mengamalkan seni mempertahankan diri Cina, san-shou dan mahir dalam judo serta menggunakan katana.
Setelah bersara daripada sukan profesional, beliau melatih penuntut seni mempertahankan diri dan memberi ceramah motivasi kepada golongan miskin.
Antara yang menjadi kebanggaan Veera adalah anak didiknya, Sharwhin Siva Ragu, yang kini bermain bola keranjang dengan pasukan NS Matrix.