Parlimen perlu debat ‘ketidakcekapan’ pakej rangsangan, kata Guan Eng

Parlimen perlu debat ‘ketidakcekapan’ pakej rangsangan, kata Guan Eng

Tahap kompetensi kepemimpinan kerajaan terus dipersoal dengan insiden terbaharu membabitkan menteri sehingga menjadikan Malaysia bahan ketawa di peringkat antarabangsa.

Lim Guan Eng berkata, Ordinan Darurat, Pelan Pemulihan Negara dan perbelanjaan bajet mesti menjadi agenda utama perdebatan ketika sidang Parlimen bersambung semula pada 26 Julai ini.
PETALING JAYA:
Ketidakcekapan kerajaan mengurus pakej bantuan RM530 bilion mesti diperdebatkan dalam sidang Parlimen bermula 26 Julai ini, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Beliau berkata, cadangan Kementerian Kewangan untuk menilai semula unjuran pertumbuhan ekonomi negara tahun ini daripada 7.5% kepada lingkungan 4% dan unjuran defisit fiskal yang meningkat kepada 7.5%, berbanding ramalan awal 5.4% ketika pengumuman bajet 2021, membuktikan pakej rangsangan tidak memberi impak dihasratkan bagi memacu semula ekonomi.

“Adakah pakej bantuan RM530 bilion menemui kegagalan kerana pelaksanaan yang tersasar, gagal mengenakan bebas faedah ke atas moratorium pinjaman bank dan ketiadaan keberanian memperuntukan suntikan dana terus sekadar RM83 bilion sahaja?

“Persidangan Parlimen pada 26 Julai ini memerlukan perdebatan penuh berkenaan Ordinan Darurat, Pelan Pemulihan Negara dan perbelanjaan bajet seperti dititahkan Yang di-Pertuan Agong,” katanya sambil menambah pakej rangsangan adalah sebahagian daripada pelan pemulihan yang terkandung dalam bajet persekutuan.

Lim turut memberi perhatian insiden tersasul oleh pegawai tinggi kerajaan, selain beberapa tindakan menteri yang mendapat perhatian rakyat, semalam.

“Kompetensi juga menjadi isu apabila kita sendiri melihat menteri kesihatan berterusan memaparkan prestasi buruk sehingga menjadikan Malaysia bahan ketawa di peringkat antarabangsa, bermula dengan syor minum air suam untuk menghalang Covid-19 kepada tersalah sebut antara ‘Spanish Flu’ dengan perkara berkaitan seks,’Spanish Fly’.

“Telatah seperti itu juga tidak membantu Menteri Kanan Azmin Ali (dilaporkan berkunjung) ke Turki dalam tempoh genting ketika kehidupan dan nyawa rakyat Malaysia hilang.

“Para menteri secara terang-terangan melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP) dengan Annuar Musa dikenakan denda RM2,000 selepas melanggar undang-undang SOP dikuat kuasa kerajaaannya sendiri dengan mengunjungi perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi dan isteri di kediamannya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.