
Perkara itu didedahkan hari ini, susulan Unit Komunikasi Mahkamah Persekutuan meminta pengamal media mendaftar untuk kes itu bagi mengikutinya secara maya.
Pada 22 April lalu, panel tiga hakim diketuai Suraya Othman menangguhkan penghakimannya selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak. Turut bersidang bersama Suraya, Abu Bakar Jais dan Ahmad Nasfy Yasin.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 21 Disember lalu memerintahkan Tengku Adnan, atau lebih dikenali sebagai Ku Nan, dipenjara 12 bulan dan didenda RM2 juta selepas disabitkan atas kesalahan terhadapnya.
Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan Ahli Parlimen Putrajaya itu untuk penangguhan pelaksanaan hukuman sehingga rayuannya selesai.
Tengku Adnan didakwa dalam kapasitinya sebagai penjawat awam, menerima RM2 juta daripada ahli perniagaan Chai Kin Kong yang juga Pengarah Aset Kayamas Sdn Bhd (AKSB).
Ku Nan didakwa menerima wang itu menerusi cek Hong Leong Islamic Bank milik syarikat berkenaan. Cek itu telah dimasukkan ke satu akaun CIMB milik Tadmansori Holdings Sdn Bhd (THSB), iaitu yang beliau mempunyai kepentingan, dan diketahui AKSB mempunyai kaitan dengan tugas rasminya.
Ku Nan didakwa melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad cawangan Pusat Bandar Damansara di sini pada 14 Jun 2016.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Peguam bela Tan Hock Chuan mewakili Tengku Adnan manakala Timbalan Pendakwa Raya Asmah Musa hadir bagi pihak pendakwaan.