
Ketua Polis Daerah Tangkak, Mohd Fadhil Minhat berkata dalam kejadian 11.15 pagi itu, mangsa berusia 72 tahun ditikam di bahagian badan, muka dan kepala oleh suspek berusia 36 tahun.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati perselisihan faham dipercayai berlaku antara warga emas tersebut dengan suspek yang juga anak saudara lelakinya.
“Polis menerima laporan pada 1.19 tengah hari dari seorang lelaki memaklumkan abang iparnya ditikam suspek.
“Susulan itu, polis menahan suspek yang dipercayai terlibat dalam kes tersebut beberapa jam kemudian,” katanya dipetik Bernama dalam kenyataan.
Fadhil berkata, siasatan lanjut juga mendapati suspek yang tinggal serumah dengan mangsa sejak kecil, baru keluar dari penjara pada Januari lalu dan dipercayai dimarahi mangsa kerana tidak bekerja.
Katanya, polis juga menemui sebilah pisau di lokasi kejadian yang dipercayai digunakan suspek dalam pertelingkahan terbabit.
“Semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai lima rekod jenayah dan satu rekod berkaitan dadah, manakala permohonan reman akan dibuat esok,” katanya sambil menambah kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.