Kes rogol ADUN: 8 kesan disyaki air mani ditemui pada sarung tilam, kata saksi

Kes rogol ADUN: 8 kesan disyaki air mani ditemui pada sarung tilam, kata saksi

Pegawai siasatan tempat kejadian, Inspektor V Simon berkata, empat helai rambut turut ditemui pada tilam itu.

ADUN Tronoh, Paul Yong Choo Kiong mengaku tidak bersalah atas tuduhan merogol pembantu rumahnya di kediamannya di Meru Desa Park pada 7 Julai 2019. (Gambar Bernama)
IPOH:
Mahkamah Tinggi di sini diberitahu lapan kesan tompokan disyaki air mani ditemui pada sarung tilam di rumah ADUN Tronoh, Paul Yong Choo Kiong yang didakwa merogol pembantu rumah Indonesia.

Pegawai siasatan tempat kejadian, Inspektor V Simon, 38, dari Bahagian Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Liyana Zawani Mohd Radzi.

“Ada jumpa juga empat helai rambut pada tilam,” kata saksi pendakwaan ke-14 itu semasa ditunjukkan barang kes bagi tujuan pengecaman.

Beliau berkata, antara barang kes lain yang diambil dari tempat kejadian ialah mop, seluar dalam lelaki berwarna kelabu, pakaian, seluar pendek berwarna biru, seluar dalam merah jambu dan baju dalam biru.

Hakim Abdul Wahab Mohamed yang mendengar perbicaraan kes itu kemudian menangguhkan prosiding hari ini dan saksi akan menyambung keterangannya esok.

Yong, 51, mengaku tidak bersalah melakukan perbuatan itu di kediamannya di Meru Desa Park, di sini, antara 8.15 malam hingga 9.15 malam pada 7 Julai 2019.

Sebelum ini, kes itu disebut di Mahkamah Sesyen, namun pada 15 Dis 2020, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan pembelaan supaya ia dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan.

Yong didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada 23 Ogos 2019, ketika memegang jawatan EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Perak.

Terdahulu, mahkamah mendengar keterangan Chor Pei Sun, 47, kakitangan Bahagian Pemasaran Jualan di agensi pembantu rumah yang menguruskan pekerjaan mangsa, berkata syarikat itu pernah menerima panggilan daripada majikan berhubung isu pemeriksaan kesihatan warga Indonesia itu sebelum kejadian.

“Saya pernah terima panggilan daripada majikan, iaitu Puan Yong sebelum kes ini, yang tanya mengenai pemeriksaan kesihatan dia (mangsa) ada masalah atau tidak,” kata saksi pendakwaan ke-11 itu ketika disoal peguam Salim Bashir.

Chor bagaimanapun tidak bersetuju dengan cadangan Salim yang isteri Yong menghubunginya untuk mengetahui sama ada mangsa mempunyai masalah mental sebelum dibawa ke negara ini.

Saksi itu berkata, beliau hanya menerima panggilan sekali daripada majikan mangsa, iaitu berkaitan pemeriksaan kesihatannya sama ada diluluskan atau tidak oleh Agensi Pemantauan dan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (Fomema).

Pada prosiding hari ini, mahkamah turut mendengar keterangan tiga lagi saksi, iaitu Kwan Mei Yee, 46, kerani agensi pembantu rumah yang menjawab panggilan Kedutaan Besar Indonesia memaklumkan aduan mangsa pada 8 Julai 2019.

Dua lagi ialah pengarah agensi pembantu rumah itu, Hong Ngin Sin dan pemandu syarikat tersebut, Tan Cheoh Teong.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.