
Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan IPP pada Mei 2021 disokong oleh pengembangan dalam semua indeks merangkumi indeks pembuatan (29.8%), indeks perlombongan (20.7%) dan indeks elektrik (7.9%).
Dalam kenyataan beliau berkata, output sektor pembuatan berdasarkan perbandingan tahun ke tahun meningkat 29.8% pada Mei selepas mencatatkan pertumbuhan 68.0% pada April.
Subsektor utama yang menyumbang kepada kenaikan sektor pembuatan pada bulan Mei 2021 adalah produk petroleum, kimia, getah dan plastik (34.8%), produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka (49.4%) dan kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain (68.9%).
Mohd Uzir berkata, industri berorientasikan eksport menyumbang kepada pertumbuhan sektor pembuatan sebanyak 25.3% manakala industri berorientasikan domestik meningkat 41.1%
Output sektor perlombongan mengembang 20.7% pada Mei 2021 berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.
Kenaikan tersebut didorong oleh peningkatan dalam indeks gas asli (30.9%) dan indeks minyak mentah dan kondensat (8.6%).
“Output sektor elektrik meningkat 7.9% pada Mei 2021 berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya,” tambah beliau.