Bakke Salleh dilantik Pengerusi Petronas baharu

Bakke Salleh dilantik Pengerusi Petronas baharu

Beliau menggantikan Ahmad Nizam Salleh yang dilantik sebagai Pengerusi Pelaburan Hartanah Berhad.

Pelantikan Mohd Bakke Salleh (kiri) dan Ahmad Nizam Salleh berkuat kuasa 1 Ogos ini.
PETALING JAYA:
Pengerusi Telekom Malaysia Bhd, Mohd Bakke Salleh dilantik sebagai pengerusi Petroliam Nasional Bhd (Petronas), menggantikan Ahmad Nizam Salleh yang akan memegang jawatan Pengerusi Pelaburan Hartanah Berhad (PHB).

Pejabat Perdana Menteri berkata, kedua-dua lantikan itu berkuat kuasa 1 Ogos ini.

“Bakke merupakan ahli korporat yang berpengalaman luas dan berkhidmat dalam pelbagai bidang ekonomi dan kewangan.

“Diharapkan kemahiran dan pengalaman yang dimiliki beliau serta sokongan padu daripada Lembaga Pengarah dan pasukan pengurusan sedia ada, akan dapat membawa Petronas melalui tempoh mencabar sekarang ke tahap lebih cemerlang,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum menjadi Pengerusi TM, Bakke pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Felda dan Pengarah Urusan Sime Darby Plantation Bhd (SDP).

Beliau bersama SDP hampir sembilan tahun, selepas menyertai kumpulan Sime Darby sebagai pemangku presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan pada 2010. Beliau juga pernah menjadi Presiden dan CEO FGV Holdings Bhd.

Selain itu, Bakke juga pernah dilantik sebagai Pengerusi 1MDB dan meletak jawatan sebanyak dua kali kerana tidak berpuas hati dengan pengurusan syarikat itu, menurut Naib Ketua Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara ketika itu, Tan Seng Giaw.

Beliau meletak jawatan sebagai Pengerusi 1MDB pada April 2009, sebelum dilantik semula dan meninggalkan jawatan itu pada Oktober tahun sama.

“Perdana Menteri mengucapkan ribuan terima kasih atas kepimpinan dan sumbangan Ahmad Nizam selama tiga tahun sebagai Pengerusi Petronas,” menurut kenyataan PMO.

“Berdasarkan pengalaman beliau selama 37 tahun berkhidmat di Petronas dalam pelbagai jawatan, beliau berjaya mengemudi syarikat berkenaan mengharungi cabaran terbesar yang dihadapi negara dan dunia, termasuklah ketidaktentuan harga minyak dunia dan krisis pandemik Covid-19.”

PMO berkata, jawatan Ahmad Nizam sebagai Pengerusi kumpulan KLCC dikekalkan.

“Pengalaman beliau di Petronas dan dalam pengurusan hartanah utama di KLCC akan membawa nafas baharu kepada hala tuju dan pengurusan PHB dalam meningkatkan pemilikan Bumiputera terhadap hartanah komersial negara.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.