3 lagi anggota polis direman bantu siasatan kes minta suapan

3 lagi anggota polis direman bantu siasatan kes minta suapan

Anggota berpangkat sarjan, koperal dan lans koperal berumur 30-an hingga 40-an itu direman selama empat hari hingga Khamis ini.

Ketiga-tiga anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas ditahan di pejabat SPRM selepas memberi keterangan petang semalam. (Gambar Reuters)
KOTA BHARU:
Tiga lagi anggota polis direman bermula hari ini bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes seorang pegawai kanan polis yang didakwa meminta suapan RM200,000 daripada pasangan pengedar dadah.

Tiga anggota berpangkat sarjan, koperal dan lans koperal berumur 30-an hingga 40-an itu direman selama empat hari hingga Khamis ini selepas Pendaftar Mahkamah Majistret Kota Bharu Nor Faezah Abdullah mengeluarkan perintah itu di Mahkamah Majistret 4, hari ini.

Perintah reman itu dibuat di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Menurut sumber SPRM, ketiga-tiga anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas itu ditahan di pejabat SPRM selepas memberi keterangan petang semalam.

Pengarah SPRM Kelantan Rosli Husain mengesahkan penahanan ketiga-tiga anggota polis itu.

Di mahkamah sama, Nor Faezah turut mengeluarkan perintah lanjutan reman ke atas seorang pegawai kanan polis berpangkat Asisten Superintendan (ASP) yang berakhir hari ini, selama empat hari lagi hingga Khamis.

Pada Jumaat dan Sabtu lepas, Bernama melaporkan dua pegawai kanan masing-masing berpangkat ASP dan DSP, kedua-dua berumur 48 tahun direman berhubung kes tersebut.

Pegawai kanan berpangkat ASP itu didakwa meminta suapan sebanyak RM200,000 daripada pasangan pengedar dadah berkenaan manakala pegawai berpangkat DSP direman bagi membantu siasatan kes sama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.