
Menurut laporan media Britain, mayat Chong Mee Kuen, yang lebih mesra dipanggil Deborah di kalangan rakannya, ditemui di Salcombe, Devon pada 27 Jun lalu.
Dia dilaporkan hilang dari rumahnya di Wembley pada 11 Jun dan kematian mangsa pada mulanya dianggap sebagai kes yang tidak dapat dijelaskan.
“Pada 6 Julai, satu siasatan kes bunuh dilakukan dan Jenna Mitchell, 36, dari Brondesbury Park, Brent, barat laut London, ditahan pada petang disyaki berlakunya pembunuhan.
“Mitchell dihadapkan ke mahkamah majistret Willesden pada Sabtu dan didakwa atas tuduhan membunuh Chong,” kata laporan itu.
Pesara kelahiran Malaysia itu sudah menetap di Wembley sejak lebih 30 tahun lalu.
Polis berkata kematiannya belum dapat dipastikan dan pembunuhan masih dikaitkan berlaku di dua rumah di barat laut London dan di kawasan hutan di Salcombe.
Jurucakap Polis Metropolitan berkata, pihaknya masih melakukan pencarian yang berlarutan dalam tempoh beberapa hari lagi.
Keluarga Chong juga dimaklumkan dengan perkembangan terkini dan diberi sokongan oleh pegawai terlatih khas, katanya.
Mitchell ditetapkan untuk hadir ke mahkamah Old Bailey pada 13 Julai.