Pemberian vaksin di KL dipertingkat 3 kali ganda, kata Annuar

Pemberian vaksin di KL dipertingkat 3 kali ganda, kata Annuar

Usaha itu bagi mempercepatkan imuniti kelompok dicapai di Kuala Lumpur bagi memastikan ibu negara kembali beroperasi dalam keadaan normal seperti sebelum pandemik.

Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa berkata, operasi vaksinasi akan diperhebatkan di Kuala Lumpur dengan beberapa PPV mula terima secara ‘walk in’. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Jumlah pemberian vaksin di Kuala Lumpur menerusi Program Vaksinasi Bergerak MYmedic@Wilayah akan ditambah tiga kali ganda.

Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa berkata, usaha itu bagi mempercepatkan imuniti kelompok dicapai di Kuala Lumpur seterusnya dapat memastikan ibu negara kembali beroperasi dalam keadaan normal seperti sebelum pandemik.

“MYmedic@Wilayah akan ditambah tiga kali ganda. Operasi vaksinasi diperhebatkan di Kuala Lumpur supaya ibu negara segera dibuka.

“Beberapa Pusat Pemberian Vaksin (PPV) akan mula terima secara ‘walk in’ termasuk di rumah prihatin di Grand Seasons, terus fokus,” katanya dalam ciapan di Twitter hari ini.

Program Rintis Vaksinasi MYmedic@Wilayah bermula sejak 7 Jun lalu, yang dilaksanakan di beberapa Program Perumahan Rakyat (PPR) dan perumahan awam (PA) di ibu negara.

Dalam perkembangan lain, Annuar turut mengumumkan sebanyak 39,000 bakul makanan disediakan melalui semua Ahli Parlimen di Kuala Lumpur tanpa mengira parti.

“Seramai 15,000 menerima RM100 tunai setiap bulan untuk tiga bulan. Bakul Makanan JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat), Yayasan Wilayah Persekutuan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan lain-lain agensi sekitar 30,000. Cukup untuk semua,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.