Pasangan kekasih dicekup polis selepas ‘drama’ dikejar 45 minit

Pasangan kekasih dicekup polis selepas ‘drama’ dikejar 45 minit

Polis tidak menolak kemungkinan pasangan yang positif dadah itu melarikan diri kerana membawa barang terlarang.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Noorzainy Mohd Noor berkata pasangan itu mempunyai rekod kesalahan berkaitan dadah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sepasang kekasih yang cuba melarikan diri menaiki kereta diberkas polis selepas aksi dikejar selama 45 minit dalam kejadian yang bermula di Permatang Tok Bidan, Kepala Batas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Noorzainy Mohd Noor berkata, dalam kejadian 6.30 petang itu, lelaki dan wanita berusia 31 serta 33 tahun berkenaan yang menaiki Proton Wira cuba melarikan diri apabila diarahkan berhenti oleh anggota peronda kerana berada dalam keadaan mencurigakan.

“Anggota polis yang sedang membuat rondaan mengarahkan kereta dipandu lelaki itu berhenti sebanyak dua kali, namun pemandunya enggan, sebaliknya bertindak agresif dan memecut kenderaan dengan melanggar beberapa lampu isyarat.

“Pihak polis mengejar kereta itu melalui beberapa kawasan, termasuk Permatang Buluh, Permatang Sirih, Pajak Song, Jalan Perak, Jalan Maju, Kampung Paya sebelum pasangan tersebut ditahan di Taman Haji Abdullah Fahim,” katanya dipetik Bernama hari ini.

Beliau berkata, sebaik tiba di persimpangan Taman Haji Abdullah Fahim, polis dengan dibantu dua kereta peronda (MPV) berjaya memintas kereta dinaiki pasangan kekasih itu.

Suspek turut cuba melanggar MPV berkenaan sehingga menyebabkan kerosakan di bahagian hadapan.

Noorzainy berkata, siasatan awal polis tidak menolak kemungkinan pasangan yang positif dadah itu melarikan diri kerana membawa barang terlarang.

Katanya, pemeriksaan juga mendapati lelaki itu mempunyai 18 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah serta di bawah Akta Dadah Berbahaya Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK), manakala teman wanitanya mempunyai tiga rekod berkaitan dadah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.