15,000 Orang Asli sudah divaksin

15,000 Orang Asli sudah divaksin

Seramai 38,000 lagi Orang ASli sudah mendaftar sebagai penerima vaksin, hasil pelbagai kempen untuk meningkatkan kesedaran masyarakat itu.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Abdul Rahman Mohamad (kanan) beramah mesra dengan Orang Asli yang membuat saringan kesihatan sebelum menerima vaksin di pusat penerimaan vaksin di Kuala Betis, Jeli hari ini. (Gambar Bernama)
GUA MUSANG:
Seramai 15,000 Orang Asli di seluruh negara sudah menerima vaksin Covid-19, hasil pelbagai kempen untuk meningkatkan kesedaran mereka mengenai kepentingan imunisasi.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Abdul Rahman Mohamad berkata, seramai 38,000 lagi Orang Asli sudah mendaftar sebagai penerima vaksin Covid-19 dan menunggu tarikh suntikan.

Beliau berkata. peningkatan kadar pendaftaran dalam kalangan masyarakat tersebut dijayakan hasil usaha jabatan dan agensi kementerian itu yang turun padang memberi penerangan di penempatan Orang Asli di seluruh negara.

“Penjelasan yang tepat membantu meningkatkan jumlah pendaftaran penerima vaksin.

“Berkenaan tarikh suntikan yang akan diberi kepada masyarakat Orang Asli, penjadualan akan ditetapkan pihak berkaitan,” katanya selepas meninjau Program Outreach Vaksinasi Covid-19 Komuniti Orang Asli di Kuala Betis di sini.

Program itu dianjurkan Kementerian Pembangunan Luar Bandar menerusi agensi di bawahnya, Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR), Majlis Amanah Rakyat menerusi anak syarikatnya, MARA Liner Sdn Bhd, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) serta Pejabat Kesihatan Daerah Gua Musang.

Menerusi program itu, KESEDAR mengambil inisiatif menggunakan kenderaan agensi untuk membawa masyarakat sekitar ke pusat pemberian vaksin.

Sementara itu, Penghulu Pos Blau, Salleh Angah mengakui pada peringkat awal pengenalan vaksin, tidak ramai Orang Asli bersetuju menerimanya kerana diselubungi perasaan takut.

Katanya, ia ditambah pula pelbagai penyebaran berita tidak benar sehingga menyebabkan pihaknya terpaksa menjelaskan perkara itu.

“Sekarang, mereka dah mula sedar dan mendaftar untuk menerima vaksin kerana ia dapat menangani Covid-19.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.