
Tabung Amanah Teoh Beng Hock untuk Demokrasi (TBH Trust) berkata, gesaan untuk ketua polis negara, peguam negara dan Kementerian Dalam Negeri mendedahkan hasil siasatan tidak dipedulikan, selepas tiga tahun kes itu dibuka semula.
Pengerusinya, Ng Yap Hwa berkata ini tidak boleh diterima kerana tiada pihak dipertanggungjawabkan atas kematian Teoh ketika dalam tahanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 12 tahun lalu.
“Kecederaan sebelum jatuh di lehernya menunjukkan wujud unsur jenayah dalam kematian berprofil tinggi ini.

“Polis harus mengambil serius keputusan Mahkamah Rayuan yang memerintahkan seorang atau lebih individu tidak dikenali menyebabkan kematian Teoh, termasuk pegawai SPRM.”
Ng berkata, arahan peguam negara untuk menyiasat kes itu di bawah Seksyen 342 Kanun Keseksaan pada 2019 tidak masuk akal kerana ia adalah kes berkaitan kematian dalam tahanan.
Oleh itu, beliau menggesa polis menyiasat kes itu secara bebas dan profesional mengikut Seksyen 302 (bunuh) atau Seksyen 304 (membunuh tanpa niat), sejajar tuntutan keluarga Teoh dan banyak pertubuhan masyarakat sivil.
“Kami menggesa kerajaan berhenti menangguhkan (perkara ini). Semua usaha perlu dilakukan untuk menjejak pelaku melalui siasatan polis secara terperinci.
“Kerajaan perlu menegakkan kedaulatan undang-undang. Tiada orang patut terkecuali daripada siasatan supaya tiada tuduhan menyembunyikan (perkara sebenar).”
Pada 2009, Teoh yang merupakan pembantu EXCO Selangor Earn Yong Hian Wah ketika itu, ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam, beberapa jam selepas beliau disoal siasat SPRM Selangor di pejabatnya di tingkat 14 bangunan sama.
Suruhanjaya Siasatan Diraja membuat kesimpulan Teoh terdorong untuk membunuh diri, susulan kaedah penyiasatan agresif yang digunakan pegawai SPRM.
Ia turut menyalahkan tiga pegawai agensi itu atas kaedah agresif mereka, yang dikatakan melanggar prosedur.
Pada 2018, polis dilaporkan akan mematuhi arahan Jabatan Peguam Negara untuk melakukan siasatan lanjut ke atas kematian Teoh.