
Ketua Polis Kedah Kamarul Zaman Mamat berkata, setakat ini pihaknya sudah menerima dua laporan polis daripada pihak yang tidak berpuas hati dengan tindakan itu.
Menurutnya, ia dipercayai berlaku ketika operasi menangkap dan melupuskan anjing liar di kawasan perumahan Taman Tiram, Kulim oleh Majlis Perbandaran Kulim Kedah (MPKK).
“Kertas siasatan sudah dibuka mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan membunuh atau mencacatkan seekor haiwan yang mana jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau dengan kedua-duanya.
“Kita bagaimanapun masih menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti undang-undang dan Prosedur Operasi Standard (SOP) diguna pakai MPKK dalam melupus haiwan liar yang berkeliaran,” katanya dalam satu kenyataan yang dipetik Harian Metro.
Kamarul Zaman berkata, pihaknya juga menasihatkan orang ramai supaya menghentikan penyebaran video terbabit.
Katanya, orang ramai juga diminta tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kebimbangan masyarakat mengenai tindakan dilakukan MPKK.