Pesakit bukan sekadar angka, Najib kesal kerajaan tak serius tangani Covid

Pesakit bukan sekadar angka, Najib kesal kerajaan tak serius tangani Covid

Bekas perdana menteri itu berkongsi hantaran terakhir salah seorang pengikut Facebooknya yang meninggal dunia akibat Covid-19 Khamis lalu.

Najib Razak berkata, kerajaan PN tidak serius semasa melaksanakan PKP 2.0 Januari lalu sehingga menyebabkan begitu ramai nyawa terkorban secara sia-sia.
PETALING JAYA:
Bekas perdana menteri, Najib Razak kesal dan marah dengan kegagalan kerajaan menangani situasi Covid-19 dengan serius sehingga mengakibatkan ramai rakyat menjadi mangsa.

Dalam hantaran Facebooknya malam ini, Ahli Parlimen Pekan itu berkata, dua pengikut Facebooknya yang kerap memberi komen meninggal dunia dua minggu lalu, manakala suami kepada seorang lagi pengikutnya turut terkorban akibat Covid-19.

Najib turut berkongsi hantaran terakhir salah seorang pengikut Facebooknya yang dikenali sebagai Eddie sebelum meninggal dunia akibat Covid-19 Khamis lalu.

“Saya sangat-sangat kesal dan marah kerana kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak serius pada Januari semasa PKP 2.0 sehingga begitu ramai nyawa seperti saudara Eddie terkorban secara sia-sia.

“Maafkan saya duhai rakyat semua. Saya dah buat semampu boleh. Hati saya remuk. Saya bukan mabuk kuasa.

“Saya hanya mahu rakyat selamat. Saya hanya mahu tiada lagi ahli keluarga sesiapa terkorban kerana sikap kerajaan. Nyawa hilang tak boleh diganti.”

Katanya, beliau tidak akan mendedahkan nama penuh pengikutnya, tetapi kerajaan PN sedar pesakit Covid-19 seperti Eddie bukan sekadar angka atau objek.

“Mereka adalah manusia. Ahli keluarga kita. Eddie meninggal dunia berseorangan.

“Pernah bernyawa dan pernah mempunyai harapan menggunung, (dan menjadi) harapan keluarga tetapi terpaksa melalui penderitaan dan menghadapi cabaran sebelum dijemput Ilahi bersendirian pada usia yang muda akibat Covid,” katanya.

Kementerian Kesihatan hari ini melaporkan satu lagi rekod baharu untuk jangkitan harian Covid-19 dengan 9,353 kes berbanding rekod tertinggi 9,180 kes yang dicatatkan semalam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.