
Berdasarkan maklumat dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah menerusi Twitter menunjukkan trend peningkatan Ro melepasi kadar 1.00 direkodkan sejak 28 Jun lalu dengan kali terakhir kadar Ro berada di bawah 1.00 pada 27 Jun, iaitu 0.99.
Berdasarkan grafik dikongsikan turut menunjukkan kadar Ro belum menunjukkan tanda penyusutan dengan kelmarin berada pada tahap 1.09, manakala hari sebelumnya, 1.07.
“Kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt pada jangkaan mengikut kes seharian pada 9 Julai 2021 untuk seluruh negara ialah 1.11,” katanya.
Turut dinyatakan kadar kebolehjangkitan mengikut negeri dan terdapat lima negeri yang nilai Ro melebihi daripada nilai kebangsaan.
Ini termasuk Putrajaya yang merekodkan 1.19, diikuti Perak (1.17), Selangor dan Kuala Lumpur (1.16) dan Kedah (1.13).
Sementara itu, antara negeri yang mencatatkan bacaan kurang daripada 1.0 ialah Pulau Pinang dan Johor iaitu 0.99, Kelantan (0.94), Wilayah Persekutuan Labuan (0.87) dan Sarawak (0.85).
Nilai Ro merujuk kepada tahap kebolehjangkitan sesuatu virus, iaitu jumlah ramai individu yang boleh dijangkiti oleh satu kes positif.
Semakin rendah nilai itu, semakin kurang kemungkinan jangkitan bagi setiap kes positif.