Usah undi ikut pendirian parti di Parlimen, gesa Shahidan kepada Ahli Parlimen Umno

Usah undi ikut pendirian parti di Parlimen, gesa Shahidan kepada Ahli Parlimen Umno

Pengerusi PNBBC, Shahidan Kassim enggan ikut ketetapan terbaharu Umno yang mahu Ahli Parlimen parti itu mengundi di Dewan Rakyat mengikut pendirian parti.

Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC), Shahidan Kassim mahu arahan terbaharu Umno tidak diikuti Ahli Parlimen daripada parti itu.
PETALING JAYA:
Selepas 24 jam, Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC), Shahidan Kassim mahu Ahli Parlimen Umno bebas mengundi di Parlimen menggunakan budi bicara masing-masing, tanpa perlu merujuk pendirian parti, khususnya Umno.

Shahidan yang juga bekas Ketua Umno Perlis, berkata kewajipan menjadikan keputusan parti sebagai panduan sekiranya wujud pengundian pada sidang Parlimen, disifatkan bercanggah dengan pendirian Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno.

Katanya, kebebasan itu termasuk sekiranya wujud pengundian bagi menentukan kelulusan sesuatu rang undang-undang atau urusan lain sepanjang persidangan dewan.

“Namun demikian, merujuk kepada kenyataan Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan, pada 8 Julai lalu, terdapat pertambahan ketetapan baharu yang dikenakan kepada Ahli Parlimen Umno.

“Ia menyatakan bahawa mereka perlu menjadikan keputusan parti sebagai panduan di dalam melaksanakan tanggungjawab ketika sidang Parlimen. Perkara ini dilihat tidak menggambarkan keputusan awal yang diumumkan presiden Umno ( Ahmad Zahid Hamidi).

“Sehubungan itu, kami Ahli Parlimen Umno dan Barisan Nasional (BN) berpegang kepada kenyataan yang dibuat oleh presiden Umno iaitu memberikan kebebasan budi bicara untuk membuat keputusan ketika sesi pengundian,” katanya dalam kenyataan, menurut laporan Berita Harian.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian, semalam dilaporkan menerima mandat untuk memberikan butiran tambahan berhubung keputusan Mesyuarat MKT Umno yang berlangsung secara maya, kelmarin.

Butiran itu merujuk kepada ketetapan MKT mengenai kebebasan kepada Ahli Parlimen Umno dalam menggunakan budi bicara apabila berlaku pengundian di Dewan Rakyat, namun difahami bahawa semua keputusan parti wajar dijadikan panduan ketika melaksanakan sebarang tanggungjawab.

Mengulas lanjut, Shahidan berharap semua pihak memberikan penekanan utama kepada usaha melawan Covid-19 dan kesejahteraan kehidupan rakyat, berbanding terus berpolitik ketika pandemik melanda negara.

“Ucapan terima kasih juga dizahirkan kepada majoriti Ahli Parlimen Umno dan BN serta seluruh ahli PNBBC yang menyatakan pendirian untuk terus menyokong kepemimpinan Muhyiddin Yassin selaku perdana menteri,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.