PM interim atau lantik baharu di tangan Agong, bukan Umno, Puad jawab Mujahid

PM interim atau lantik baharu di tangan Agong, bukan Umno, Puad jawab Mujahid

Ahli Majlis Kerja Tertinggi itu berkata Umno tetap mahu kembali berkuasa melalui proses demokrasi yang sah dengan memulangkan mandat kepada rakyat untuk membuat pilihan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Puad Zarkashi berkata tidak timbul Umno mahu merampas kuasa secara senyap.
PETALING JAYA:
Kuasa untuk melantik perdana menteri baharu atau lantikan perdana menteri interim adalah kuasa Yang di-Pertuan Agong, bukan bidang kuasa Umno, kata Puad Zarkashi.

Mengulas kenyataan Ahli Parlimen Parit Buntar, Mujahid Yusof Rawa yang mempersoal adakah Umno merancang “rampasan kuasa secara senyap” dengan menguasai kerajaan, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno itu berkata, isu rampasan kuasa itu langsung tidak timbul.

“Tidak timbul isu Umno mahu merampas kuasa secara senyap. Kuasa melantik perdana menteri interim adalah atas budi bicara Agong,” katanya kepada FMT.

Tegas Puad lagi, Umno tetap mahu kembali berkuasa melalui proses demokrasi yang sah dengan memulangkan mandat kepada rakyat untuk membuat pilihan.

“Apabila Umno menarik sokongan terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan memintanya meletak jawatan, keyakinan Umno ialah kerajaan Perikatan Nasional (PN) sudah kehilangan majoriti,” katanya.

Terdahulu, Mujahid dalam hantarannya di Facebook mempersoalkan tindakan Umno itu, dengan pelantikan Ismail Sabri Yaakob sebagai timbalan perdana menteri.

Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, Muhyiddin pasti didesak meletakkan jawatan “sehari dua ini” dan Ismail akan menjadi pemangku perdana menteri dan berkemungkinan dilantik sebagai PM interim.

Manakala Hishammuddin Hussein yang dilantik sebagai menteri kanan pada Rabu lalu akan menjadi timbalan perdana menteri.

“Majoriti Ahli Parlimen Umno akan kekal menyokong PN sehingga bubarnya Parlimen. Kerajaan tak tumbang tetapi Umno dominan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.