Ismail Sabri, Hishammuddin Hussein harapan baharu Umno, kata Annuar

Ismail Sabri, Hishammuddin Hussein harapan baharu Umno, kata Annuar

Dalam suasana Umno masih terjebak dalam kemelut "personality cult" yang menebal, selain krisis defisit kepercayaan rakyat, sudah tiba masanya ahli parti memberi peluang kepada kepimpinan baharu.

PETALING JAYA:
Ismail Sabri Yaakob dan Hishammuddin Hussein, perlu diangkat sebagai harapan baharu bagi Umno,’ kata Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa.

Annuar yang juga bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, dalam suasana parti itu masih terjebak dalam kemelut “personality cult” yang menebal, selain krisis defisit kepercayaan rakyat, sudah tiba masanya ahli parti memberi peluang kepada kepimpinan baharu.

“Umno amat memerlukan satu suntikan dan lonjakan baharu agar ia mampu di rekayasa menjadi parti pilihan rakyat. Dalam suasana inilah, Ismail dan Hishammuddin muncul membawa harapan baharu kepada Umno untuk politik yang lebih harmoni dan disegani,” katanya.

Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, kedua-dua mereka mempunyai rangkaian akar umbi kuat selepas lahir dari “kilang pemuda”, lazimnya dianggap jalur latihan dalam kepimpinan Umno, yang kini masing-masing memegang peranan besar dalam kerajaan sebagai timbalan perdana menteri dan menteri kanan.

“Namun mereka berdua perlu bergabung tenaga dan tampil memimpin secara bebas tanpa sebarang “inferiority complex” atau pun mangsa kepada “warlords”.

“Mereka mampu menjadi penaung dan penggerak baru meninggalkan “order lama” yang penuh bermasalah. Ini masanya Umno mengutamakan perjuangannya untuk kembali kepada jajaran betul dan menjamin kemenangan masa depan,” katanya.

Dalam hierarki Umno, Ismail adalah naib presiden, manakala Hishammuddin, tidak memegang jawatan tertinggi, namun Menteri Kanan Luar Negeri itu, dilantik sebagai Bendahari Agung Barisan Nasional (BN).

Dalam pada itu Annuar berkata, Umno kini terperangkap dalam “LGBT politik” selepas timbul isu pemimpin parti itu cuba menjadi pencatur kepada jajaran politik baharu, selepas parti itu bersama PAS dan Bersatu membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata Umno berkeupayaan melakukan perubahan paradigma membina “alliance” politik baharu bersama PAS, kemudian Bersatu, dalam mengorak langkah membentuk Perikatan Nasional (PN).

“Malangnya, formula pasti menang yang sudah dalam genggaman Umno, sedikit demi sedikit dirosakkan politik jajaran baharu yang awalnya di buat secara ‘luar tabii’, tetapi kemudian semakin berani cuba dijadikan norma baru politik Umno.

“Akibatnya Umno kini terperangkap dalam ‘LGBT politik’, politik dua alam,dan kembali menjenguk politik perpecahan dan politik songsang yang amat serius,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.