
Bekas menteri kewangan itu berkata, kerajaan perlu memperuntukkan tambahan RM1 bilion setiap bulan untuk tujuan itu.
“Berapa sangatlah tambahan RM1 bilion setiap bulan berbanding kos ‘total lockdown’ sekarang yang dianggarkan berjumlah RM170 bilion oleh pakar ekonomi?” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, jumlah itu turut dijanjikan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin semasa pilihan raya negeri di Sabah tahun lalu.
“Sehingga kini, janji ini sekadar janji kosong.”
Muhyiddin mencadangkan idea itu di Sandakan pada Ogos tahun lalu, iaitu cadangan yang turut disokong oleh DAP.
Lim berkata, kerajaan tidak patut “terperangkap dalam cara pemikiran kewangan lama dan ortodoks”, tetapi menggunakan pendekatan lebih dinamik ketika negara menghadapi krisis sekali dalam seumur hidup.
Katanya, perlu ada siri bantuan kewangan secara berkala bagi menyelamatkan pekerjaan, perniagaan dan mata pencarian.
“Kaedah lama bantuan ‘one-off’ adalah bantuan kewangan sementara yang tidak akan melindungi mata pencarian ekonomi pekerja biasa dan rakyat Malaysia yang mengalami masalah kewangan.”