Bekas ratu cantik dituduh tumbuk polis di SJR

Bekas ratu cantik dituduh tumbuk polis di SJR

Kohinoor Damodaran Kaittiani dan rakannya turut didakwa menggunakan dadah.

Kohinoor Damodaran Kaittiani dan Quek Shen Tying mengaku tidak bersalah atas tuduhan terhadap mereka. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang bekas ratu cantik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas dua tuduhan menumbuk anggota polis dan menggunakan dadah ketika ditahan di sekatan jalan raya (SJR), semalam.

Kohinoor Damodaran Kaittiani, 29, didakwa menggunakan kekerasan jenayah bagi menakut-nakutkan penjawat awam dengan menumbuk Koperal Sharularifin Sarmadan di Jalan Universiti di sini pada jam 3 pagi, 8 Julai lalu, lapor Berita Harian.

Dia didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Wanita itu turut didakwa menggunakan dadah Tetrahydrocannabinol di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, di sini, jam 2 petang, pada tarikh sama.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 akta sama yang memperuntuk penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya dan pengawasan tidak lebih tiga tahun.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Lau Chia Xin, menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh bagi semua pertuduhan.

Bagaimanapun, tertuduh dalam rayuannya menerusi peguam Raj Preet Kaur memohon diberikan ikat jamin rendah dengan alasan perniagaan restorannya terpaksa ditutup ekoran penularan wabak Covid-19.

Majistret Zhafran Rahim Hamzah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan dan menetapkan 6 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

Dalam prosiding sama, rakannya, Quek Shen Tying, 33, turut mengaku tidak bersalah atas tuduhan menggunakan dadah jenis sama, jam 2.15 petang, pada tarikh dan tempat sama.

Mahkamah kemudian membenarkan Shen Tying diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 1 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.