Apa dah jadi dengan sistem HIDE, soal pakar

Apa dah jadi dengan sistem HIDE, soal pakar

Sudah lebih sebulan tiada senarai titik panas Covid-19 mahupun laporan mengenai sistem tersebut dikeluarkan.

Premis yang dikenal pasti melalui sistem HIDE sebagai tempat berpotensi menjadi ‘hotspot’ diarahkan tutup selama tiga hari.
PETALING JAYA:
Seorang bekas timbalan menteri kesihatan dan ketua badan perubatan mempersoalkan ketiadaan kemas kini mengenai sistem amaran awal Covid-19, Hotspot Identification by Dynamic Engagement (HIDE).

Walaupun kerajaan pada mulanya menerbitkan senarai premis yang dikenal pasti melalui sistem HIDE sebagai tempat berpotensi titik panas – lokasi berkenaan diarah tutup selama tiga hari – sudah lebih sebulan tiada senarai sedemikian mahupun laporan mengenai sistem tersebut dikeluarkan.

“Sistem HIDE? Ia sudah ‘bersembunyi’,” kata Dr Lee Boon Chye kepada FMT.

“Saya rasa mereka tidak menggunakannya lagi dan jika ada saya tidak tahu sama ada ia hanya untuk kegunaan dalaman.”

Walaupun sistem itu bermanfaat dan datanya harus dapat diakses oleh orang ramai, kerajaan dikecam hebat mengenainya, kata beliau.

Dilancarkan pada sidang media pada 4 Mei oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin, sistem itu disebut sebagai cara bagi pihak berkuasa dan pemilik perniagaan meramal potensi kluster Covid-19 melalui penggunaan data raya dan kecerdasan buatan (AI).

Khairy berkata, alat sebegini dibangunkan untuk mengelak sekatan menyeluruh yang akan memberi impak negatif ke atas ekonomi.

Bagaimanapun, penutupan tiga hari premis dalam senarai HIDE menimbulkan kemarahan peniaga runcit dan pengusaha pusat beli belah kerana hampir setiap pusat beli-belah di Lembah Klang tersenarai.

Kumpulan perniagaan menyalahkan sistem tersebut kerana meletakkan stigma ke atas industri.

Menurut Dr Subramaniam Muniandy, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) tidak pasti sama ada sistem itu masih digunakan.

Presiden persatuan itu menyeru agar wujud lebih ketelusan tentang data sistem HIDE kerana katanya, ia kurang dikongsi.

“Ada ramai pakar di luar Kementerian Kesihatan (KKM) yang boleh memberi idea baharu jika mereka mendapat data mengenai jumlah dan lokasi pengujian, yang sepatutnya tersedia untuk doktor, supaya kami dapat menilai risiko buat pesakit kami dan memutuskan untuk membuat saringan secara lebih rasional,” katanya.

Beliau berkata, susah untuk dikatakan sama ada sistem HIDE patut digunakan kerana para doktor tidak tahu algoritma dan datanya.

“Kami belum diperlihatkan keberkesanan penggunaan sistem HIDE dalam tindak balas yang disasarkan negara terhadap Covid-19.”

Walaupun Khairy sebelum ini berkata Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis (CPRC) di bawah KKM mengurus analisis data HIDE, seorang jurucakap KKM memberitahu FMT supaya merujuk kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) apabila diminta memberi komen.

FMT telah menghubungi pembantu Khairy bagi mendapatkan komen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.