Tingkat ujian sampel sebagai persediaan kemunculan strain Lambda, kata pakar kesihatan

Tingkat ujian sampel sebagai persediaan kemunculan strain Lambda, kata pakar kesihatan

Pakar kesihatan berkata mana-mana strain Covid-19 perlu diberi perhatian kerana ia lebih agresif.

Seorang pakar kesihatan berkata, Putrajaya perlu meningkatkan bilangan fasiliti untuk menjalankan penjujukan venom. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan perlu bersedia meningkatkan jumlah ujian sampel, susulan laporan mengenai kemunculan strain baharu Covid-19, kata pakar kesihatan.

Ujian sampel itu digunakan untuk pengawasan genom yang mengesan bilangan varian Covid-19 di negara ini dan memantau bagaimana virus berubah kepada varian baharu.

Berdasarkan hantaran Kementerian Kesihatan (KKM) di Twitter, strain baharu Covid-19, Lambda, telah dikesan di lebih 30 negara dalam tempoh empat minggu lalu.

Ia juga menyebut satu laporan yang mendakwa strain terbabit dipercayai lebih mudah tersebar berbanding varian Delta, yang sebelum ini dipercayai strain Covid-19 paling mudah terjangkit.

Azrul Mohd Khalib, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial, berkata mana-mana strain yang dilihat lebih agresif dan menunjukkan ketahanan tinggi terhadap vaksin, harus diberi perhatian.

Azrul Mohd Khalib.

Katanya, Putrajaya perlu meningkatkan bilangan fasiliti yang boleh melaksanakan penjujukan genom.

“Dengan mempunyai pemahaman mendalam mengenai kepelbagaian varian di negara ini, ia akan membantu pembuat dasar dan memastikan persediaan sepatutnya dapat dilakukan,” katanya kepada FMT.

Beliau menggesa kerajaan bekerjasama dengan pihak berkepentingan yang relevan dan pembuat keputusan untuk mengeluarkan analisis secara berkala sekiranya strain itu dikesan di negara ini.

Dr Subramaniam Muniandy.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia Dr Subramaniam Muniandy berkata selain meningkatkan ujian dan penjujukan genom, orang ramai juga harus melindungi diri dengan mendapatkan suntikan vaksin dan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Katanya, pemakaian pelitup muka dua lapis juga disaran sebagai perlindungan tambahan.

Subramaniam berkata KKM juga perlu menyediakan garis panduan sepatutnya untuk pengudaraan bagi mengelak jangkitan melalui udara, terutama di tempat kerja apabila pekerja menghabiskan masa berjam-jam dengan rakan sekerja.

Bekas menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata pengawasan penjujukan genom secara berterusan harus dilakukan terutama di pintu masuk sempadan.

Lee berkata varian Covid-19 akan terus muncul sepanjang pandemik ini dengan sebahagian strain yang mungkin lebih berbahaya berbanding yang lain.

Dr Lee Boon Chye.

“Apa saja varian, langkah kesihatan awam biasa ialah penjarakan sosial, mengenakan pelitup muka dan sanitasi akan terus dapat melindungi orang ramai daripada mana-mana strain,” katanya.

Katanya, pengesanan kontak secara berkesan juga boleh membantu dalam persediaan menghadapi mana-mana strain Covid-19 dan kerajaan juga perlu mencari mekanisme yang lebih cekap dengan segera.

“Malangnya, kerajaan gagal mengawal virus ketika ini. Ketika jangkitan varian menjadi semakin biasa, situasi akan menjadi lebih buruk,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.