
Dalam kenyataan, beliau berkata negeri itu sudah mencapai nilai ambang tiga indikator utama yang ditetapkan.
SOP Fasa 2 boleh didapati di laman web Majlis Keselamatan Negara MKN).
Ismail yang juga Menteri Pertahanan turut mengumumkan beberapa lokaliti di Terengganu, Sabah dan Perak akan dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).
Katanya, PKPD selama 14 hari bermula 10 hingga 23 Julai ini susulan peningkatan jangkitan Covid-19.
Di Perak, PKPD melibatkan mukim Bidor dan Batang Padang selepas KKM merekodkan 523 kes positif hasil saringan ke atas 3,271 penduduk.
Manakala di Terengganu, PKPD membabitkan tiga lokaliti dalam Mukim Sura, Dungun, dengan 28 kes positif direkodkan hasil saringan ke atas 360 penduduk.
Di Sabah, PKPD membabitkan Kampung Mangkubau Laut in Pitas, Ladang Sabah Mas Division Segama di Lahad Datu, Felda Umas 1,3, dan 4, Kalabakan serta Taman Bukit Sepanggar di Kota Kinabalu.
Sementara itu, PKPD di Kawasan Perindustrian Bestgrade di Pokok Sena, Kedah, dilanjutkan hingga 23 Julai. Ia sepatutnya berakhir pada 9 Julai tetapi jangkitan Covid-19 masih dapat dikesan.
Ismail turut memaklumkan PKPD yang akan tamat pada 9 Julai bermula 11.59 malam, melibatkan Kampung Muhibbah, Menggatal, Kota Kinabalu, Flat Indah Jaya, Sandakan di Sabah dan Politeknik Sultanah Bahiyah, Kulim, Kedah.
PKPD di dua asrama pekerja asing di Tangkak dan Segamat, Johor yang sepatutnya berakhir pada 13 Julai dan 16 Julai, ditamatkan lebih awal daripada dijadualkan pada 9 Julai.
Hospital Medan
Dalam pada itu, Ismail berkata kerajaan bersetuju menubuhkan satu lagi Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang bagi menyokong kesiapsiagaan perkhidmatan kesihatan di Selangor.
Manakala, di Melaka Hospital Medan ATM juga akan turut ditubuhkan.
“ATM juga memberi jaminan sentiasa komited dan bersiap-siaga jika ada keperluan untuk membina hospital medan di negeri yang memerlukan khidmat sokongan kesihatan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan seramai 556 individu ditahan semalam atas kesalahan ingkar SOP. Daripada jumlah itu, seramai 523 individu dikompaun, 32 direman manakala seorang dijamin.
“Antara kesalahan direkodkan ialah tidak memakai pelitup muka, individu gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis, tiada penjarakan fizikal, tidak patuh arahan kawalan pergerakan, rentas negeri/daerah tanpa kebenaran/makan/minum di premis dan membawa penumpang berlebihan,” katanya.
Bagi Operasi Pematuhan, pihak berkuasa melakukan pemeriksaan ke atas 2,859 kilang, 16,743 premis perniagaan, 907 tapak pembinaan dan 394 asrama penempatan pekerja.
“Sebanyak 56 premis meliputi kilang, premis perniagaan dan tapak pembinaan diarahkan tutup kerana gagal mematuhi SOP,” katanya.