
Menurut laporan Bernama, Mohd Riduan Ismail, 34, mengaku melakukan perbuatan itu terhadap isterinya, Siti Rohmah Achmad Sarkati, 30, di sebuah rumah di Kampung Kerdas Batu, Gombak dekat sini pada 2 petang Isnin lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya. Dia juga boleh dihukum mengikut Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun.
Majistret Nur Hafizah Rajuni memerintahkan menjalani hukuman penjara tertuduh bermula dari tarikh tangkapnya iaitu 6 Julai lalu.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, perselisihan faham telah tercetus selepas mangsa menyoal hubungan suaminya itu dengan seorang wanita yang tidak dikenali.
Tertuduh kemudian menyepak badan, mencekik leher, menumbuk dan memijak kepala mangsa, mengakibatkan wanita itu lebam di kepala dan badan.
Sementara itu, dalam rayuan bagi meringankan hukumannya, Mohd Riduan yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Jean Francis berkata dia menanggung dua anak berusia tiga dan sembilan tahun selain hanya memperoleh RM1,500 sebulan hasil menjual telur di pasar.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisak Hassni mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran mengambil kira fakta kes.