
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah Zazuli Johan berkata cubaan penyeludupan rokok putih yang merupakan dagangan larangan itu digagalkan susulan penahanan empat buah kontena di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang kelmarin.
“Semakan K4 (Manifes Import) mendapati kontena tersebut telah diikrar sebagai telekung dan pallet terpakai bagi mengelakkan daripada dikesan oleh pihak JKDM.
“Rokok diklasifikasi sebagai dagangan terlarang di bawah Butiran 1, Jadual Ketiga / Bahagian II, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zazuli berkata kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 iaitu cubaan mengelakkan dengan fraudan duti kastam dan mengelakkan larangan import dan cubaan mengelakkan dengan fraudan duti eksais di bawah Seksyen 74(1)(e) Akta Eksais 1976.