Kes pemisahan kehakiman, Mahkamah Persekutuan dengar permohonan 10 September

Kes pemisahan kehakiman, Mahkamah Persekutuan dengar permohonan 10 September

Seorang suri rumah mahu wanita beragama Islam yang didakwa mempunyai hubungan sulit dengan suaminya menjadi responden permohonan itu.

Mahkamah Persekutuan akan mendengar petisyen seorang suri rumah untuk berpisah daripada suaminya yang didakwa mempunyai hubungan dengan seorang wanita beragama Islam.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Persekutuan menetapkan 10 September untuk mendengar sama ada seorang wanita beragama Islam boleh dinamakan sebagai responden bersama dalam petisyen pemisahan kehakiman melibatkan pasangan bukan Muslim.

Peguam Ravi Nekoo berkata, prosiding yang sepatutnya didengar hari ini ditangguhkan selepas anak guamnya, seorang suri rumah bukan Islam, mahu menambah beberapa alasan dalam petisyennya bagi mengukuhkan permohonannya.

“Kami hanya memperoleh alasan penghakiman Mahkamah Rayuan baru-baru ini,” katanya.

Selain itu, katanya peguam responden Siew Choon Jern juga tidak sihat.

Mahkamah Persekutuan pada 5 November lalu membenarkan permohonan izin rayuan suri rumah itu bagi membincangkan dua isu perundangan.

Panel tiga hakim dipengerusikan Nallini Pathmanathan berkata isu pertama melibatkan sama ada Seksyen 3(3) Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) tidak membenarkan pempetisyen bukan Islam menamakan seorang Muslim sebagai responden bersama berkait dakwaan zina bagi kes pemisahan kehakiman.

Isu kedua pula adalah sama ada mahkamah, dalam menghuraikan peruntukan undang-undang sama patut mengandaikan Parlimen tidak berniat mewujudkan undang-undang yang melanggar Perkara 5(1) dan 8(1) Perlembagaan Persekutuan.

Ravi bersama Gopal Sri Ram mewakili suri rumah itu yang hanya dikenali sebagai AJS, manakala Siew mewakili responden, RIS serta responden bersama, JBMH.

Pada 6 Julai tahun lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan memutuskan seorang Muslim tidak boleh menjadi pihak dalam pertikaian perkahwinan melibatkan pasangan bukan Islam.

Hakim Mahkamah Tinggi Faizah Jamaludin sebelum itu turut memutuskan responden bersama hanya boleh dinamakan dalam petisyen perceraian, bukan bagi pemisahan kehakiman, tidak kira agamanya.

Dalam perceraian, kontrak perkahwinan dibatalkan, manakala bagi pemisahan kehakiman, perkahwinan itu masih berterusan tetapi pasangan terlibat dibenarkan hidup berasingan.

AJS memfailkan petisyen pemisahan kehakiman terhadap suaminya, RIS pada 2019.

AJS menamakan JBMH, seorang wanita beragama Islam, sebagai responden bersama yang didakwa mempunyai hubungan sulit dengan suaminya itu.

JBMH kemudian memfailkan permohonan untuk menyingkirkan namanya daripada petisyen berkenaan atas alasan akta terbabit tidak terpakai untuk orang Islam.

Identiti pihak-pihak dirahsiakan seperti diperintahkan Mahkamah Tinggi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.